KUALA LUMPUR: Aspek penjimatan dan disiplin kewangan perlu dimulakan dari atas, bermula daripada Perdana Menteri dan menteri-menteri, hingga kepada pegawai atasan dan kakitangan bawahan.
Mohd Syahir Sulaiman (PN-Bachok) berkata: “Janganlah sampai pegawai bawahan terpaksa berkira-kira dengan bajet yang ada di jabatan untuk ‘outstation’ dan ‘claim’.
“Hendak jumpa rakyat, petani, nelayan, usahawan di bawah tersangat susah, tetapi Perdana Menteri dan menteri-menteri mudah-mudah sahaja ke sana ke sini, mengumumkan projek di sana di sini,” katanya.
Beliau bersetuju supaya pelaporan yang lebih telus dikemukakan untuk tatapan rakyat keseluruhan, meliputi laporan tahunan dan laporan pertengahan tahun, namun perlu dilakukan dalam kerangka kepimpinan melalui teladan.
Bercakap ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Kewangan Awam Dan Tanggungjawab Fiskal 2023, katanya akta itu bertujuan untuk ‘mendisiplinkan’ Putrajaya dan memberikan lebih kuasa kepada parlimen untuk mengawal selia urusan kewangan negara.
Mohd Syahir berkata, secara dasar akta ini perlu mendukung nilai 3T, iaitu Tadbir Urus, Tanggungjawab dan Telus, terutama berhubung pengurusan hasil, perbelanjaan awam, pinjaman, hutang, dan pelaporan kewangan yang berkaitan.
“Beberapa objektif disiplin fiskal berkaitan kestabilan ekonomi, baki fiskal, tahap hutang dan risiko fiskal telah digariskan dalam Fasal 6(1) dan 6(2) RUU ini.
“Namun Bachok berpandangan penumpuan terpenting perlu diberikan kepada prinsip Kesaksamaan Antara Generasi, yang bermaksud pengurusan dasar fiskal negara hendaklah mengambil kira kesannya ke atas kesejahteraan generasi akan datang, bukan kepentingan hari ini sahaja,” katanya.
Dalam perumusan dasar hasil yang digariskan, katanya beberapa objektif penting hendaklah dicapai seperti penjanaan hasil yang mencukupi, mampan, cekap dan berdaya saing.
Namun, katanya penekanan utama perlu diberikan kepada prinsip ‘Keadilan’ dalam penjanaan hasil dan dasar percukaian negara, mengambil kira keupayaan untuk membayar cukai dan manfaat yang diperolehi daripada cukai yang dibayar, sama ada bersifat regresif, progresif atau kombinasi kedua-duanya.
“Justeru aspek ‘Keadilan Cukai’ perlu dititikberatkan dalam Fasal 10(2), tanpa dikesampingkan pentingnya dasar hasil yang mampan dan terjamin, supaya kebajikan rakyat dan pembangunan negara dapat dilaksanakan secara mampan dan terjamin,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/10/2023




















