Siswazah USIM warga Palestin terkorban serangan rejim Israel

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melahirkan rasa dukacita di atas pemergian dua orang pelajar siswazah dan lebih 20 orang ahli keluarga mangsa akibat serangan bom rejim zionis di Gaza, Palestin pada pagi Ahad lalu.

- Advertisement -

Mohammed J. H. Alzaanin, calon Doktor Falsafah Pengurusan Sumber Manusia dan isterinya, Kholoud M. H. Elzaneen pelajar Program Sarjana Sains (Mod Penyelidikan), Fakulti Sains dan Teknologi USIM terkorban dalam serangan bom yang berlaku di perkampungan mereka di Bait Hanon kira-kira jam 8 pagi.

USIM menerusi hantaran di laman Facebooknya malam tadi menyatakan perkara itu disahkan oleh Presiden Kesatuan Umum Pelajar Palestin di Malaysia, Ammar H. M. Mahariq.

Turut terkorban adalah empat orang anak mangsa. Hanya seorang anak mangsa dilaporkan terselamat.

Menurut Pengerusi Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia, Badereddin Seyam, turut terkorban adalah 20 ahli keluarga mangsa dalam serangan bom oleh rejim zionis di Gaza itu.

Mohammed J. H. Alzaanin baharu sahaja selesai menjalani sesi viva-voce di USIM pada 5 Julai lalu manakala isterinya dijadualkan menduduki ujian viva-voce pada 23 Oktober ini.

“Salam takziah daripada seluruh warga USIM moga roh mereka ditempatkan bersama-sama orang beriman,” ujar USIM dalam hantaran itu. – HARAKAHDAILY 10/10/2023

- Advertisement -