‘Kita sentiasa berdiri bersama Al-Aqsa dalam perjuangan ini’

- Advertisement -

KOTA BHARU: Umat Islam di negara ini disaran menunaikan solat sunat hajat bagi memohon pertolongan Allah untuk melindungi umat Islam di bumi Al Aqsa.

- Advertisement -

Menteri Besar Kelantan Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassruddin Daud berkata, umat Islam Palestin mesti dibantu dengan berdoa kepada Allah SWT semoga mereka diberi kekuatan untuk menentang kerakusan dan kezaliman tentera Zionis Israel.

Sementara itu, Timbalan Menteri Besar Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan menjelaskan isu Palestin bukan sekadar konflik rakyat negara itu semata-mata, sebaliknya ia penting bagi seluruh umat Islam di seluruh dunia.

Katanya, tanah air milik rakyat Palestin merupakan kawasan suci yang perlu dijaga dan dihormati.

“Sejarahnya perlu dikenali untuk disampaikan kepada generasi sekarang supaya mereka tahu sejarah sebenar Palestin.

“Kerajaan juga perlu memainkan peranan penting dalam usaha mengekalkan kesedaran tentang isu terbabit,” ujarnya pada kenyataan semalam.

Beliau menambah, pertempuran yang berlaku antara Palestin dan Israel telah melibatkan serangan besar-besaran oleh Hamas dan Jihad Islami dalam ‘Operasi Taufan Al-Aqsa’ selepas ketegangan berterusan di sempadan Gaza-Israel yang bermula beberapa hari lalu.

Katanya, ia membuka mata umat Islam terhadap keperluan untuk memberi perhatian khusus kepada isu tersebut.

Sehubungan itu kata beliau bagi meringankan derita rakyat Palestin, umat Islam di pelusuk dunia disaran melaksanakan solat sunat hajat, Qunut Nazilah dan bermunajat memohon perlindungan rakyat Palestin daripada cengkaman penjajahan dan penindasan rejim Zionis Israel.

“Semoga Allah melindungi Palestin daripada penindasan dan kezaliman Israel.

“Kita doakan supaya suatu hari nanti bumi Palestin akan merdeka. Insya-Allah kita sentiasa berdiri bersama Al-Aqsa dalam perjuangan ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 10/10/2023

- Advertisement -