
KUALA TERENGGANU: Persatuan Kebajikan Asatizah Terengganu (PAKAT) menyokong penegasan kerajaan negeri yang tidak membenarkan atlet wanita Islam menyertai sukan gimnastik.
Pengerusinya, Ustaz Abu Usamah Mohd Hanapiah Hussin mengalu-alukan penegasan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim bahawa kerajaan negeri tidak membenarkan atlet wanita Islam menyertai sukan gimnastik selaras dengan Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu.
Katanya, PAKAT juga melahirkan sokongan kepada usaha Exco berkenaan untuk mengendalikan isu ‘patuh syariah’ pemakaian atlet Terengganu secara ‘lebih mesra syariah’ daripada segi pelaksanaannya.
Ini, ujarnya dengan maksud lebih mengutamakan pendidikan dalam usaha menerapkan garis panduan itu serta mengelakkan atlet negeri daripada terlibat dalam bidang sukan yang terlalu menjolok mata kepada bidang sukan yang lebih ‘mesra syariah’.
Katanya lagi, PAKAT menggesa pihak yang mengkritik agar turut mengambil kira pandangan para mufti dan para ulama syariah mengenai etika berpakaian seseorang wanita Islam dalam sukan gimnastik sebelum membuat serangan melulu ke atas keputusan kerajaan negeri.
Beliau menambah, rakyat negeri ini perlulah diberi kebebasan untuk beramal dengan ajaran agama mereka.
“PAKAT berpandangan langkah ini bukanlah langkah ke belakang untuk kemajuan sukan di negara kita, bahkan ia akan lebih memartabatkan atlet wanita negeri Terengganu dalam bidang sukan, tanpa perlu merasa bimbang terpaksa mengenepikan seketika prinsip agama dan etika budaya demi untuk memajukan diri dalam bidang sukan,” ujarnya dalam kenyataan, di sini.
Menurutnya, PAKAT melihat langkah itu dapat melahirkan lebih ramai atlet wanita negeri yang cemerlang dalam acara sukan lain yang nanti akan lebih diberikan tumpuan dan fokus untuk mendapatkan pingat oleh kontinjen negeri dalam sebarang pertandingan sukan akan datang.
Tambahnya, PAKAT mengingatkan umat Islam supaya sentiasa berjaga-jaga dengan usaha-usaha ‘serangan pemikiran’ oleh pelbagai pihak demi untuk merungkaikan wanita Islam daripada beramal dengan syariat Islam dalam pelbagai bidang terutamanya bidang hiburan, fesyen dan sukan.
Dengan itu, katanya mereka akan berjaya melemahkan lebih separuh kekuatan umat Islam.
PAKAT juga, ujarnya berharap kerajaan negeri dapat menyediakan lebih banyak prasarana sukan yang lebih mesra syariah untuk wanita yang tidak menyertai acara sukan berbentuk pertandingan sebagai galakan untuk merancakkan amalan hidup sihat dalam kalangan wanita negeri ini.
“Akhir sekali, PAKAT berpandangan kenyataan bahawa kerajaan negeri tidak menghalang atlet wanita bukan Islam untuk terlibat dalam sukan gimnastik adalah suatu kompromi yang adil dan bijaksana.
“Semoga bumi Terengganu lebih sentiasa diberkati oleh Allah SWT jua. Baldatun toyyibatun wa rabbun ghafur,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 9/10/2023




















