Taufan Al Aqsa sedang menggila, kita wajib peduli

- Advertisement -

HARI ini masuk hari kedua perang tanah suci Palestin yang dijenamakan oleh al Qassam sebagai Taufan al Aqsa, serangan nekad pejuang Islam untuk mengembalikan semula kemuliaan tanah kiblat pertama umat Islam. Tiada ketakutan, operasi kumpulan elit al Qassam seperti memberi isyarat kepada dunia, Israel bukanlah terlalu kuat untuk dikalahkan dan 2026 sebagai unjuran untuk pembebasan total bumi barakah ini. Buana ini tiba-tiba geger dengan suara kesakitan Yahudi, berselang dengan laungan takbir para mujahidin yang dapat merampas aset tentera musuh, menawan dan membunuh musuh.

- Advertisement -

Menurut Komander Briged al Qassam, perang ini dimulakan kerana pencerobohan dan kebiadapan rejim terhadap Masjid al Aqsa serta tindakan berterusan rejim yang mengepung bumi Gaza.

Darah berkubang dan pelbagai cuplikan video menunjukkan guratan wajah ketakutan tentera zionis, Israel digempur peluru sehingga ke Tel Aviv, Ashdod, Ben Gurion Airport dan lain lain lokasi. Siren kecemasan terus berbunyi dan tempat perlindungan terus dipadati manusia sombong yang disokong oleh rangkaian kuasa besar itu.

Hari kedua, serangan balas pihak Israel menggila dan terdesak, angka kematian dan kecederaan meningkat pantas di Gaza dan memerlukan simpati seluruh dunia Islam. Kota Gaza dibedil oleh rejim zionis, Khan Younis, Rafah, terus dibedil rejim dengan angka kematian seramai 239 orang manakala 1,388 orang telah mengalami kecederaan.

Menurut Dr Abu Ayesh an Najjar, Pengarah Hubungan Antarabangsa Kementerian Pendidikan Gaza, ramai mangsa mengalami kecederaan yang serius, kerosakan pada bangunan kerajaan serta rumah kediaman. Serangan rejim dijangka berterusan dan kematian akan terus meningkat. Dalam kalangan yang syahid pula, terdapat kalangan kanak-kanak, orang tua, muslimah termasuk satu bangunan bank utama di Gaza juga telah dimusnahkan.

Perdana Menteri Israel telah mengarahkan semua bangsa Yahudi agar keluar daripada Gaza kerana perancangan Israel untuk menggempur besar-besaran Gaza dan sekitarnya. Di pihak al Qassam kali ini penggunaan Unit Helang telah dilaksanakan iaitu tentera elit yang meluncur ke dalam kawasan rejim dengan menggunakan jentera paragliding.

Pelbagai tempat dibedil rejim zionis, manakala Jabalieh paling teruk dihentam dengan serangan udara sang pengecut, melanggar Protokol Majlis Keselamatan PBB dan Konvensyen Geneva. Saat pelbagai kumpulan aplikasi wassap menggebu dengan isu isu picisan, sendawa dan lena yang panjang, pembantaian skala besar dihadapkan kepada umat Islam Palestin yang berjuang untuk membebaskan al Quds.

Gaza adalah penjara terbesar di atas dunia ini, dengan kepadatan penduduk seramai 2.3 juta jiwa, tiada ruang selamat untuk berlindung jika seranga udara dihalakan kepada batas jalur yang sempit ini. Tembok tinggi simen, juga jalur pantai mengepung wilayah yang menjadi kubu HAMAS ini, apatah lagi nasib umat Islam Palestin ini yang berjiran dengan Mesir yang tolol dan sekutu kuat US serta Israel. Bedilan udara zionis meratah jasad manusia yang tak berdosa serta melanggar konvensyen Geneva. Al Qassam, sayap tentera HAMAS dan pasukan Jihad Islam juga melakukan tindak balas semerta termasuk berjaya menyerang bandar dan wilayah Askeelon di sebelah Israel.

Al Qassam dan Jihad Islam sedang membalas serangan negara pengganas yang didokong oleh Ahzab moden, langit Gaza seperti pesta pora mercun gergasi dengan bunyi ledakan kuat yang meluluh lantak bangunan serta merabik daging manusia. Pasukan pejuang Palestin sedang berusaha agar dapat melumpuhkan terus dua buah lapangan terbang antarabangsa Israel dan menjadikan Tel Aviv serta bandar-bandar lain marak disambar api percikan roket. Inilah perlawanan dan amukan Al Qassam tak mampu meredam rasa marah umat Islam sedunia atas kebiadapan Israel terhadap tanah Gaza serta serangan kepada orang awam yang tak berdosa. Tiada yang mampu mengharmonikan jiwa bangsat mereka yang menganggap umat Islam sebagai goyim (binatang) yang wajib dibunuh.

Pertembungan antara Islam dengan kelompok Yahudi adalah melalui denai sejarah yang panjang. Di zaman ar Rasul SAW, kelompok Yahudi Bani An Nadhir, Bani Qainuqa’, Bani Quraizah telah mengkhianati baginda yang mulia, sehingga kemuncaknya berlaku peperangan Khaibar pada bulan Muharram tahun tujuh hijrah. Jangan lupa juga dibulan Rabiul Awwal ini akan kisah al hasyr (pengusiran) tahun keempat hijrah, Yahudi bani an Nadhir  telah dihalau keluar daripada kota Madinah oleh Ar Rasul SAW kerana konspirasi jahat mereka untuk membunuh baginda Nabi.

Di zaman moden kelompok Yahudi telah menubuhkan gerakan zionis pada tahun 1897 di Bassel, di mana 300 orang sarjana Yahudi yang dipimpin oleh Teodor Hezl telah mengagaskan matlamat dan nuansa kelompok Yahudi yang bercita-cita menguasai dunia. Matlamat mereka mewujudkan ‘The greater Israel’, mereka ingin menjadikan Palestin sebagai pusat pemerintahan dan menguasai Baitul Maqdis.

Cita-cita ini didokong oleh Empayar Pax Britanica, British meluncurkan Perjanjian Balfour dan seterusnya Perjanjian Porthmouth. Khilafah Islam yang terakhir, khilafah Uthmaniah telah menjaga setiap inci tanah suci umat Islam ini dengan airmata dan darah. Peperangan antara Tentera British yang dipimpin oleh Sir Lord Allenby dengan tentera Islam Khilafah Uthmaniah telah menyaksikan kemenangan empayar British pada tahun 1917.

Cita-cita zionis semakin terbuka dengan kemenangan sekutu mereka, British dalam peperangan merebut tanah Palestin pada tahun 1917 dengan tentera kerajaan Uthmaniah. Impian ini semakin terbentang luas untuk digapai apabila berlakunya kejatuhan Khilafah Uthmaniah pada Mac 1924. Gerakan Islam menjadi benteng paling hadapan menentang kewujudan negara Israel yang diimpikan oleh zionis.

Sheikh Izzudin Al Qassam terbujur syahid pada tahun 1935 dalam perlawanan menentang British yang menjajah Palestin. Ikhwanul Muslimin yang dipimpin oleh Hasan al Banna telah menggerakkan kempen besar-besaran untuk menyelamatkan Palestin dan Baitul Maqdis. Kemuncaknya perang di Palestin pada tahun 1948 menyaksikan lebih 10,000 anggota-anggota Ikhwanul Muslimin bertempur di Tanah Suci ketiga umat Islam ini, sehingga mereka dikhianati oleh pemerintah Mesir (dipanggil pulang ke Mesir dan dipenjara).

PAS menghantar pelbagai misi bantuan kepada umat Islam Palestin melalui jaringan sivilnya, mengadakan pelbagai seminar, wacana, diskusi intelektual, forum bagi menyelamatkan Palestin serta menimbulkan kesedaran ummah. HAMAS menjadi teman baik PAS semenjak ditubuhkan pada tahun 1987 oleh Sheikh Ahmad Yasin, wakil Palestin diundang ke Ijtimak Alami yang diadakan di Rusila pada tahun 1988 serta pelbagai program besar PAS yang lain. Dalam Parlimen, ahli-ahli legislatif PAS mengemukan usul berkaitan nasib Palestin semenjak dekad 1950-an lagi.

Krisis yang berlaku di Asia Barat adalah usaha jahat Amerika dan Zionis untuk melakarkan peta berdarah baru bagi menggantikan Perjanjian Sykes Picot 1916. Makar ini sebenarnya bagi menjamin keutuhan dan keselamatan negara haram Israel bagi menguasai sepenuhnya sumber tenaga ‘emas hitam’, termasuk menguasai laluan strategik perairan dan juga udara, obses dengan pelaburan dan monopoli pasaran Asia Barat.

Seluruh kekuatan jentera parti Islam sewajibnya dikerah untuk menggalang dana, melantunkan munajat serta doa, menggerakkan kempen kesedaran peduli Gaza serta membantu umat Islam Palestin yang sedang berkubang darah mempertahankan kiblat pertama umat Islam.

Penduduk Gaza membayar harga yang mahal, kerana merekalah benteng kepada keselamatan Masjid al Aqsa. Kerana keberanian mereka, rejim zionis tidak sewenangnya berani meruntuhkan tempat israk Nabi SAW. Kita mampu sama-sama membantu mereka dengan menderma, mengadakan bantahan awam, memboikot produk jaringan zionis, menebarkan kepedulian dan terus berdoa tanpa bosan agar Allah memberikan kemenangan kepada umat Islam Palestin. Takbir! – HARAKAHDAILY 8/10/2023

Penulis ialah AJK PAS Pusat, Anggota Misi Bantuan Tanpa Sempadan.

- Advertisement -