
PASIR PUTEH: Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) tidak sepatutnya diwujudkan di negeri diterajui Perikatan Nasional (PN) memandangkan sudah ada penghulu yang mempunyai peranan serupa.
Timbalan Exco kerajaan negeri Asilah Zin berkata, sepatutnya kerajaan negeri dan Pusat bekerjasama untuk memastikan kebajikan rakyat sentiasa terjamin tanpa mengira politik.
Ujarnya kerajaan persekutuan seolah-olah tidak ikhlas serta mempunyai agenda terselindung bagi menyampaikan bantuan hanya kepada penyokong PH dan BN sahaja.
“Bagi saya penubuhan JPKKP boleh mewujudkan situasi tidak harmonis di kampung kerana wujud dua pemimpin masyarakat di satu mukim. Kewujudan JPKKP sekadar mencari pengaruh politik.
“Kalau penubuhan itu hanya untuk rakyat menyokong dia tidak betul, bagi kami beri bantuan kepada semua rakyat tanpa kira latarbelakang parti,” katanya selepas majlis sambutan Maulidur Rasul Muslimat Dun Limbongan di Masjid Tok Guru, Bandar Baharu Pasir Puteh di sini hari ini.
Baru-baru ini kerajaan persekutuan mengumumkan penubuhan JPKK di negeri dikuasai PH-BN, manakala JPKKP pula bagi negeri pimpinan pembangkang.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga sudah lali dengan gelagat Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang tidak menghayati terma dalam perlembagaan negara.
Menurutnya kerajaan Madani sepatutnya berlaku adil kalau nak bagi bantuan kepada rakyat kena bagi semua rakyat tanpa kira fahaman politik.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Kelantan berkata meski pun pilihan raya sudah berakhir, namun masih ada lagi yang mengamalkan politik sempit.
Asilah yang juga Adun Limbongan berkata, pihaknya akan memperkasakan lagi tugas dan peranan 17 penghulu mukim lantikan kerajaan negeri di Dun berkenaan.
“Dengan penubuhan JPKKP ini kita akan bina kekuatan 17 penghulu kita dengan lebih lagi walau pun kita sudah ada pengalaman berhadapan dengan situasi seperti ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/10/2023




















