
Doa Nabi paling istimewa
وَهَلْ اَتٰىكَ حَدِيْثُ مُوْسٰى
“Apakah telah sampai kepadamu kisah Musa? (9)”
Allah S.W.T ingin memberikan semangat kepada Nabi Muhammad S.A.W dengan membawa kisah mengenai Nabi Musa A.S. Pertarungan antara Nabi Musa dengan kaumnya cukup hebat. Sebab itu, Nabi Musa merupakan salah seorang Nabi yang digelar sebagai Ulul Azmi.
Selain daripada itu ialah Nabi Muhammad, Nabi Nuh, Nabi Ibrahim dan Nabi Isa A.S. Mereka mempunyai ketahanan yang kuat dan keazaman yang amat tinggi yang dijadikan sebagai contoh:
اِذْ رَأى نَارًا فَقَالَ لِأهْلِهِ امْكُثُوْٓا اِنِّيْ اٰنَسْتُ نَارًا لَّعَلِّيْٓ اٰتِيْكُمْ مِّنْهَا بِقَبَسٍ اَوْ اَجِدُ عَلَى النَّارِ هُدًى
“Ketika dia (Musa) melihat api, lalu berkatalah dia kepada keluarganya: “Tinggallah kamu (di sini), sesungguhnya aku melihat api, mudah-mudahan aku dapat membawa sedikit daripadanya kepadamu atau aku akan mendapat petunjuk di tempat api itu.” (10)”
Nabi Musa tidak sengaja membunuh seorang bangsa Qibti kerana menolong kaumnya Bani Israel. Pada ketika itu, kerajaan menghendaki pembunuh tersebut. Setelah rahsia pecah bahawa Nabi Musa yang terlibat dengan pembunuhan itu, Baginda melarikan diri kerana akan ditangkap.
Ada dua doa yang keluar setelah peristiwa tersebut berlaku. Doa yang pertama adalah:
رَبِّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي فَاغْفِرْ لِي
“Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menzalimi diriku dengan berbuat kesalahan ini, maka Engkau ampunkanlah aku”. [1]
Baginda menyesal dan sebenarnya tiada niat untuk membunuh. Dalam sebahagian tafsir ada disebut bahawa Baginda cuma menamparnya sahaja tetapi disebabkan oleh kekuatannya, orang itu rebah dan meninggal.
Baginda tiba di suatu tempat yang bernama Madyan dan berteduh di bawah suatu pokok. Baginda berasa lapar dan takut kerana tidak biasa dengan tempat tersebut. Lalu, doa keduanya keluar iaitu:
رَبِّ إِنِّى لِمَآ أَنزَلْتَ إِلَىَّ مِنْ خَيْرٍۢ فَقِير
“Wahai Tuhanku, aku ini dengan apa yang Engkau turunkan daripada sebarang kebaikan amat mengharapkan.” [2]
Ulamak menyebut bahawa doa-doa para Nabi adalah doa yang paling istimewa. Utamakanlah doa-doa Nabi yang terkandung dalam al-Quran dan Hadis melebihi doa-doa orang lain. Sebab doa-doa tersebut datang secara langsung daripada Allah S.W.T. Ibaratnya Allah memberikan inspirasi kepada Nabi sehingga terkeluar daripada mulut mereka.
Dalam kalangan manusia, tiada orang yang paling tinggi darjatnya kecuali Nabi dan Rasul. Walaupun orang alim, orang soleh, sufi dan keramat itu hebat tetapi tiada yang mampu menandingi kedudukan Nabi dan Rasul.
Ada yang kata kedudukan wali lebih tinggi daripada Nabi, itu tidak benar. Walau dia mampu berjalan di atas air atau udara sekalipun. Nabi Musa A.S pun boleh berjalan di atas laut. Nabi Sulaiman A.S pula boleh mengarahkan angin untuk menerbangkannya ke mana sahaja yang Baginda ingini. Dari segi martabat rohaninya, tiada yang mampu menandingi Nabi dan Rasul.
Begitu juga dengan kehebatan Nabi Khidir. Nabi Khidir hebat kerana merupakan seorang Nabi. Nabi Khidir lebih hebat daripada Nabi Musa dari segi ilmu rohani yang diberi oleh Allah S.W.T kepadanya yang tiada pada Nabi Musa.
Semasa Nabi Musa berteduh di bawah pokok, Baginda ternampak sekumpulan pengembala kambing. Mereka sedang memberi minum kepada kambing-kambing. Air itu daripada sebuah telaga besar yang ditutupi dengan batu besar. Kemudian, Baginda juga ternampak dua orang kanak-kanak perempuan berada di situ.
Setelah selesai diberi minum, telaga itu pun ditutup. Dua kanak-kanak itu tidak dapat menolak penutupnya yang besar. Nabi Musa mendekati dan bertanya tentang masalah mereka. Mereka mahu memberi minum kepada binatang. Ayah mereka yang uzur tidak dapat turut serta.
Mereka membiarkan beberapa orang pengembala terlebih dahulu memberi minum kepada binatang, namun setelah itu telaga ditutup. Jadi, tidak dapatlah mereka menolaknya. Lalu, Baginda seorang diri menolaknya. Sedangkan tadi penutup itu perlu ditolak oleh beberapa orang pengembala.
Setelah selesai, kanak-kanak itu bertanya kepada Baginda mengenai asal usulnya. Ceritanya menyebabkan mereka berasa kasihan. Lalu, Baginda dijemput ke rumah untuk bertemu dengan ayah mereka dan sekurang-kurangnya dapat berehat.
Mereka memulakan perjalanan. Baginda berjalan di hadapan manakala mereka berjalan di belakang. Kalau ingin membelok, mereka diminta untuk melontarkan batu ke arah yang dikehendaki. Kata ulamak, baiknya akhlak Baginda sedangkan pada ketika itu baru berusia muda. Baginda tidak mahu melihat orang perempuan ketika berjalan.
Riwayat yang masyhur menyatakan bahawa ayah mereka ialah Nabi Syuaib. Ada khilaf yang menyatakan bahawa ayah mereka bukan Nabi Syuaib sebab kronologi zaman antara Nabi Musa dengan Nabi Syuaib adalah sangat jauh berbeza.
Setelah makan lalu Nabi Syuib berbual dengan anak-anaknya. Nabi Syuib ingin Nabi Musa menjadi penggantinya untuk menjaga kambing-kambing peliharaannya dan akan membayar upah. Anak-anaknya pun bersetuju sebab Nabi Musa dianggap sebagai pemuda yang Qawiyyul Amin iaitu kuat dan amanah.
Nabi Syuaib berasa hairan bagaimana anak-anaknya dapat mengenali Nabi Musa dalam masa sehari. Lalu, diceritakan tentang penutup telaga yang besar dan juga tentang keadaan perjalanan mereka balik ke rumah. Barulah Nabi Syuaib memahami maksud di sebalik gelaran Qawiyyul Amin.
Kata Imam Ibn Taimiyah dalam tulisannya Siyasah Syar’iyyah (Politik Islam), dua sifat dalam memilih pemimpin ialah Qawiy (kuat) dan Amin (amanah). Maksud Qawiy ialah orang yang mempunyai kelayakan untuk dilantik menjadi seorang ketua. Lihatlah kepada bidang yang diceburi dan kelulusan yang diperolehi. Tidak sesuai kalau ustaz dilantik menjadi engineer dan engineer dilantik menjadi ustaz.
Maksud Amin ialah amanah. Ada kes di mana bank pun menjadi lingkup kerana perbuatan pekerjanya sendiri yang menipu duit bank.
Menurut Imam Mawardi pula, syarat untuk menjadi pemimpin ialah ‘al-ilmu al-muaddi ila al-ijtihad‘ yang bermaksud ‘ada ilmu agama sehingga boleh berijtihad’. Kalau syarat ini digunapakai pada masa sekarang, maka menjadi susah untuk kita melantik ketua.
Nabi Syuaib pun berjumpa dengan Nabi Musa dan menyatakan hasratnya untuk mengambilnya sebagai pekerja. Nabi Musa dibenarkan untuk tinggal bersama Nabi Syuib dengan syarat bekerja dengan Nabi Syuaib selama sepuluh tahun. Kemudian, Nabi Musa perlu mengahwini salah seorang anak Nabi Syuaib.
Dalam riwayat disebut bahawa isterinya bernama Safuriyyah. Setelah sepuluh tahun, Nabi Musa ingin pulang ke kampung halamannya. Barangkali orang sudah melupakannya dan kerajaan pun sudah bertukar. Nabi Syuaib menghadiahkan satu kumpulan kambing kepadanya sebagai modal untuk pulang semula ke Mesir.
Baginda berjalan bersama-sama dengan isterinya pada waktu malam. Suhu pada ketika itu sejuk menyebabkan mereka terpaksa berhenti dan berkhemah. Tiba-tiba, Baginda ternampak satu cahaya datang daripada belukar. Baginda terfikir ada api jadi boleh digunakan untuk menghangatkan badan. Ayat ke-10 ini menjelaskan peristiwa itu:
فَلَمَّآ اَتٰىهَا نُوْدِيَ يٰمُوْسٰٓى
“Maka ketika dia datang ke tempat api itu, dia dipanggil: “Wahai Musa! (11)”
اِنِّيْٓ اَنَا۠ رَبُّكَ فَاخْلَعْ نَعْلَيْكَۚ اِنَّكَ بِالْوَادِ الْمُقَدَّسِ طُوًى
“Sesungguhnya Aku inilah Tuhanmu, maka tanggalkanlah kedua terompahmu, sesungguhnya kamu berada di lembah yang suci, Tuwa. (12)”
وَاَنَا اخْتَرْتُكَ فَاسْتَمِعْ لِمَا يُوْحٰى
“Dan Aku telah memilih kamu, maka dengarkanlah apa yang akan diwahyukan (kepadamu). (13)”
Apabila Baginda mendekatinya, tiada api tetapi cuma ada cahaya. Suatu suara tiba-tiba menyerunya. Allah menyuruhnya agar membuka kasutnya. Mungkin daripada peristiwa inilah orang Melayu menjadikannya sebagai amalan misalnya, membuka kasut sebelum naik ke atas rumah, masjid atau tempat-tempat yang suci.
Istimewanya Solat Umat Nabi Muhammad
اِنَّنِيْٓ اَنَا اللّٰهُ لَآ اِلٰهَ اِلَّآ اَنَا۠ فَاعْبُدْنِيْۙ وَاَقِمِ الصَّلٰوةَ لِذِكْرِي
“Sesungguhnya Aku ini adalah Allah, tidak ada Tuhan selain Aku, maka sembahlah Aku dan dirikanlah solat untuk mengingati Aku. (14)”
Nabi Musa dilantik secara langsung daripada Allah S.W.T. Inilah kehebatannya. Berbeza dengan Nabi-nabi yang lain, malaikat Jibril sebagai perantara yang menyampaikan dan melantik mereka menjadi Nabi. Dalam kitab ada menyebut bahawa Nabi Musa digelar sebagai Kalimullah yang bermaksud orang yang bercakap secara langsung dengan Allah S.W.T.
Perintah solat telah wujud pada zaman Nabi Musa A.S bahkan sejak Nabi Adam A.S lagi. Cuma kaedahnya tidak serupa. Ada umat terdahulu yang melaksanakan qiam sahaja, rukuk sahaja dan sujud sahaja. Kaedah solat pada hari ini untuk umat Nabi Muhammad S.A.W ada gabungan qiam, rukuk dan sujud.
Gabungan tersebut mewakili seluruh makhluk. Kata ulamak, dengan qiam, kita mewakili makhluk yang tegak seperti pokok dan manusia. Dengan rukuk, kita mewakili makhluk yang berkaki empat seperti lembu, kerbau, gajah, kuda, harimau dan sebagainya. Dengan sujud, kita mewakili makhluk yang melata seperti ular, kala jengking, lipan, buaya dan sebagainya. Sebab manusia ialah khalifah Allah yang dengan solat, dia mewakili seluruh makhluk lain.
Tujuan solat adalah untuk mengingati-Nya dan berhubung dengan-Nya terutama ketika sujud. Nabi Muhammad S.A.W pernah menyebut bahawa saat yang paling dekat antara seorang hamba dengan Allah adalah ketika sujud. Perbanyakkanlah doa dalam sujud. Ibaratnya kita meletakkan kepala di hujung kaki, maknanya kita merendah diri dan merasa hina.
Sesetengah orang alim akan sujud dalam sujud terakhir dengan tempoh yang agak lama. Sebab dia banyak berdoa pada masa itu. Kalau kita solat secara berseorangan, lebih baik kita sujud lebih lama sikit.
Hikmah Hari Kiamat disembunyikan waktunya
اِنَّ السَّاعَةَ اٰتِيَةٌ اَكَادُ اُخْفِيْهَا لِتُجْزٰى كُلُّ نَفْسٍۢ بِمَا تَسْعٰى
“Sesungguhnya hari kiamat itu pasti akan datang, Aku sengaja merahsiakan (waktunya) agar setiap diri itu dibalas dengan apa yang dia usahakan. (15)”
Antara asas kepada akidah adalah percaya kepada Allah, Nabi dan hari akhirat. Apabila kita percaya kepada Allah dan Nabi, kita akan percaya kepada malaikat. Sebab malaikat yang menjadi penyampai wahyu kepada Nabi dan membawa kitab. Apabila kita percaya kepada hari akhirat, kita akan percaya kepada syurga, neraka, dosa, pahala, benda baik dan buruk termasuklah hari kiamat.
Kiamat pasti akan berlaku cuma tidak diketahui akan masanya. Ia sengaja disembunyikan supaya kita sentiasa bersedia. Sama juga dengan waktu kematian, ia disembunyikan agar kita sentiasa beringat dan berwaspada.
Begitu juga dengan waktu mustajab doa pada hari Jumaat [3]. Nabi tidak menyebut bila masanya cuma berdasarkan ijtihad ulamak, waktu-waktunya adalah antara dua azan pada hari Jumaat, ketika Imam naik ke atas mimbar, antara dua khutbah dan selepas waktu Asar sebelum Maghrib:
فَلَا يَصُدَّنَّكَ عَنْهَا مَنْ لَّا يُؤْمِنُ بِهَا وَاتَّبَعَ هَوٰىهُ فَتَرْدٰى
“Maka sekali-kali janganlah kamu dipalingkan daripadanya oleh orang yang tidak beriman kepadanya dan oleh orang yang mengikut hawa nafsunya, yang menyebabkan kamu binasa.” (16)”
Allah menyuruh Nabi untuk percaya kepada hari kiamat dan tidak perlu mengikuti orang yang tidak mahu percaya. Secara umumnya, orang bukan-Islam tidak percaya kepada hari kiamat. Cuma sesetengah agama percaya kepada kehidupan selepas mati atau disebut sebagai Tanasukhul Arwah yang bermaksud perpindahan roh setelah jasad mati ke badan orang lain.
Misalnya, agama Hindu dan Buddha yang menyuruh penganutnya untuk berbuat baik kerana percaya bahawa akan ada kehidupan semula selepas mati. Kehidupan semula itu bergantung kepada kehidupan mereka pada hari ini.
Dalam cerita Cina, kalau orang itu dizalimi, selepas mati dia akan menjadi hantu dan mengganggu orang yang menzaliminya. Sebab percaya kepada satu kehidupan yang baru tetapi bukan hari akhirat.
Mukjizat Nabi Musa
وَمَا تِلْكَ بِيَمِيْنِكَ يٰمُوْسٰى
“Apakah yang di tangan kananmu itu wahai Musa? (17)”
Nabi Musa berjalan sambil memegang tongkat. Allah bertanya, apa yang dipegangnya walaupun hakikatnya Dia sudah pun mengetahui akan tongkat itu. Kata ulamak, ia adalah suatu permulaan kepada percakapan. Ibaratnya ketika kita terjumpa dengan seseorang yang sedang mencangkul, kita bertanya, dia tengah buat apa walaupun kita sudah pun mengetahuinya:
قَالَ هِيَ عَصَايَۚ اَتَوَكَّؤُا عَلَيْهَا وَاَهُشُّ بِهَا عَلٰى غَنَمِيْ وَلِيَ فِيْهَا مَاٰرِبُ اُخْرٰى
“Musa berkata: “Ini adalah tongkatku, aku bertopang padanya ketika berjalan, dan aku pukul (daun) dengannya untuk kambingku dan bagiku ada lagi keperluan yang lain padanya.” (18)”
Sudah memadai kalau Nabi Musa sekadar memberitahu bahawa itulah tongkatnya. Tetapi, Baginda suka bercakap dengan Allah. Lalu, ditambahnya lagi mengenai kegunaan-kegunaan tongkatnya. Kata ulamak, penerangan Nabi Musa yang panjang lebar itu adalah tanda Baginda suka berbicara dengan Allah S.W.T:
قَالَ اَلْقِهَا يٰمُوْسٰى
“Allah berfirman: “Lemparkanlah ia, wahai Musa!” (19)”
فَاَلْقٰىهَا فَاِذَا هِيَ حَيَّةٌ تَسْعٰى
“Lalu dilemparkannya tongkat itu, maka tiba-tiba ia menjadi seekor ular yang merayap dengan cepat. (20)”
Nabi Musa mencampakkan tongkatnya seperti yang disuruh oleh Allah S.W.T. Tiba-tiba, tongkat bertukar menjadi seekor ular yang bergerak. Inilah mukjizat pertama yang Allah anugerahkan kepadanya.
قَالَ خُذْهَا وَلَا تَخَفْۗ سَنُعِيْدُهَا سِيْرَتَهَا الْاُوْلٰى
“Allah berfirman: “Peganglah ia dan janganlah takut, Kami akan mengembalikannya kepada keadaannya semula. (21)”
Nabi Musa terkejut melihat ular itu. Lalu, Baginda disuruh oleh Allah untuk memegang dan menangkapnya. Setelah dipegang, ular tadi bertukar menjadi tongkat semula:
وَاضْمُمْ يَدَكَ اِلٰى جَنَاحِكَ تَخْرُجْ بَيْضَاۤءَ مِنْ غَيْرِ سُوْۤءٍ اٰيَةً اُخْرٰى
“Dan kepitkan tanganmu ke ketiakmu, nescaya ia keluar menjadi putih cemerlang tanpa cacat, sebagai mukjizat yang lain (pula). (22)”
Tangannya yang bertukar menjadi putih bersinar itu bukanlah suatu penyakit. Itu merupakan mukjizat yang kedua:
لِنُرِيَكَ مِنْ اٰيٰتِنَا الْكُبْرٰى
“Kerana Kami ingin perlihatkan kepadamu sebahagian daripada tanda-tanda kekuasaan Kami yang sangat besar. (23)”
Dua perkara yang berlaku adalah untuk menunjukkan kekuasaan-Nya.
اِذْهَبْ اِلٰى فِرْعَوْنَ اِنَّهٗ طَغٰى
“Pergilah kepada Firaun; sesungguhnya dia telah melampaui batas.” (24)”
Nabi Musa disuruh oleh Allah untuk pulang berjumpa dengan Firaun. Sebab Firaun telah melampaui batas iaitu dia mengaku dirinya sebagai Tuhan dan mengarahkan rakyat di Mesir untuk menyembahnya. Baginda diarah untuk memperbetulkan pegangan Firaun dan rakyat Mesir supaya tidak rosak.
Kuliah Tafsir Mingguan disampaikan Yang di-Pertua Dewan Negeri Kelantan, Dato’ Haji Mohd Amar Abdullah yang juga Naib Presiden PAS pada Isnin, 2 Oktober 2023 di Masjid Assidiqin, Mukim Panchor, Kelantan. – HARAKAHDAILY 6/10/2023
Rujukan:
[1] Surah al-Qasas, ayat ke-16.
[2] Surah al-Qasas, ayat ke-24.
[3] Hadis Sahih Riwayat Imam Bukhari (no. Hadis 5295) dan Muslim (no. Hadis 852).











