
BENTONG: PERIKATAN NASIONAL (PN) dijangka berpeluang besar memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Pelangai setelah dua minggu tempoh berkempen dan bakal tamat jam 11.59 tengah malam ini.
Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabar berkata, peluang PN menang di Pelangai besar berdasarkan respons positif daripada masyarakat setempat.
“Sepanjang tempoh ini saya melihat respon dari masyarakat Pelangai sangat baik, ini berdasarkan pada program yang kita adakan dan juga melalui ziarah pengundi yang kita lakukan setiap hari.
“Mereka yang tidak menyertai mana-mana parti mahupun mereka yang merupakan ahli Umno pun memberikan respons yang baik kerana rata-rata mereka inginkan perubahan seiring dengan perubahan iklim politik seluruh negara.
“Oleh kerana itu kita merasakan peluang untuk PN memenangi kerusi Pelangai begitu besar,” ujarnya kepada Harakahdaily, di sini.
Katanya, biarpun naratif buruk cuba dimainkan pihak lawan mengatakan ‘orang Pelangai tak terima PN, ceramah kosong’, nyata ia tidak memberi tekanan dan meninggalkan kudis kepada jentera PN untuk terus berkempen.
“PAS telah berjuang sekian lama, pelbagai fitnah dan ejekan telah dilontarkan kepada PAS, namun kita melihat rakyat Malaysia terus memberikan sokongan dan mereka semakin meyakini PAS.
“PAS bukan sahaja bertambah penyokong malahan keahlian PAS juga bertambah, sehinggakan dalam tempoh kempen di Pelangai ini ada ahli dan penyokong Umno telah menyertai PAS dan bersedia untuk menubuhkan cawangan baru PAS,” ujar Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjung Lumpur itu lagi.
Ahli PAS, menurutnya, sentiasa sabar dan istiqamah dan tidak tunduk dengan segala tuduhan dan perlekehan terhadap PAS, sebaliknya mereka menjadikan ia sebagai pembakar semangat untuk terus berjuang sehingga mencapai kemenangan.
Para petugas PAS ujarnya, bekerja secara sukarela dan penuh cita tanpa mengharapkan imbuhan, tidak berbayar dan dibayar, malah sanggup memberi harta benda dan jiwa raga untuk perjuangan.
“PAS tidak dikuatkan dengan harta dan duit sebagaimana parti lain, kerana harta bersifat sementara, mana-mana parti yang dibina kekuatannya dengan duit, pasti ahlinya akan meninggalkan parti apabila parti tidak mampu untuk memberinya ganjaran.
“Namun PAS membina kekuatan ahlinya dengan kekuatan jiwa iaitu meyakini bahawa Allah SWT pasti akan membantu hambanya segala hamba-Nya membantu agama Allah SWT,” ujarnya.
Jelasnya lagi, PAS membina kekuatan jiwa ahlinya melalui program liqa fikri, ijtima tarbawi, usrah dan lain-lain sebagai satu cara untuk menyuntik semangat ahlinya berjuang tanpa mengharapkan balasan.
Para pimpinan PAS, ujarnya sentiasa mentarbiah ahlinya untuk terus berjuang dengan mengorbankan harta benda dan jiwa bagi mencapai matlamat perjuangan PAS iaitu untuk meletakkan Islam menjadi perlembagaan tertinggi.
“Oleh kerana itulah kita melihat sokongan dan kekuatan PAS semakin melebar seiring dengan masa disebabkan ahli PAS sanggup berjuang berkorban walau dalam apa keadaan sekalipun sama ada di waktu susah mahupun senang. Sama ada waktu kaya atau miskin, ahli PAS yang ikhlas tidak akan meninggalkan perjuangan,” ujarnya.
Beliau turut mendoakan calon PN bagi PRK Dun Pelangai, Cikgu Kasim Samat berjaya menjadi pilihan rakyat esok sekali gus menjadi wakil rakyat kedua anak jati Pelangai bersuara di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang mengiringi ADN Beserah, Andansura Rabu yang merupakan anak jati Chemomoi. – HARAKAHDAILY 6/10/2023











