
PASIR MAS: Kerajaan negeri akan melaksanakan penstrukturan semula Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) bagi meningkatkan bekalan air untuk menampung keperluan pengguna di seluruh jajahan.
Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Dr Izani Husin berkata, perkara itu sebahagian kandungan kertas kerja yang dirangka kerajaan negeri.
Selain itu katanya berkaitan penggantian paip air secara menyeluruh.
“Kertas kerja itu akan diserahkan kepada kerajaan Pusat melalui Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).
“Komitmen dan kesungguhan kerajaan negeri melaksana penstrukuran pengurusan AKSB secara tidak langsung dapat meningkatkan hubungan negeri dan Pusat.
“Kita juga berusaha mempercepatkan kelulusan dan kontrak projek bekalan air,” katanya selepas perasmian Loji Rawatan Air Mini (LRA) Meranti Baharu di sini semalam.
LRA mini itu dibina melibatkan kos sebanyak RM10.2 juta dibiayai kerajaan negeri.
Perasmiannya disempurnakan Menteri Besar Dato’ Panglima Perang, Ustaz Mohd Nassuruddin Daud.
LRA Meranti Baharu dibina bermula Februari 2022 mampu menghasilkan sebanyak 6 juta liter sehari yang mampu memberi manfaat kepada 4,300 pengguna di enam kampung.
Dr Izani juga berkata masalah utama yang dihadapi AKSB iaitu jumlah air tidak terhasil (NRW) 53 peratus, berpunca daripada paip lama.
Malah beliau berkata, sehingga sekarang 412 kilometer paip usang ditukar daripada 4,006 kilometer membabitkan jajahan Kota Bharu, Machang, Tanah Merah dan Kuala Krai.
“Kita kaji masalah NRW kerana lebih separuh air yang dihasilkan hilang tidak sampai kepada pengguna. Usaha itu diberi tumpuan utama pada penggal ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/10/2023











