
KUALA LUMPUR: Sekiranya kerajaan mengambil langkah lebih awal mengatasi gangguan bekalan beras tempatan isu harga beras melambung tinggi dapat diatasi.
Malangnya kerajaan membiarkan dalam tempoh begitu lama rakyat berdepan dengan masalah kekurangan beras tempatan.
Pengarah Advokasi Khidmat Guam, Mahmud Jumaat berkata, sepatutnya Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu bertindak lebih awal.
“Akhirnya rakyat terpaksa bersuara bagi menjelaskan fakta sebenar dan bukan berita palsu seperti diuar-uarkan sesetengah pihak.
“Sejujurnya rakyat amat terkesan dengan keadaan ekonomi sekarang,” katanya pada kenyataan di laman sosialnya.
Beliau turut berharap kerajaan lebih prihatin dengan mendekati rakyat untuk mengetahui situasi sebenar yang berlaku di bawah.
Katanya juga menteri yang bertanggungjawab menjaga kesejahteraan rakyat sepatutnya mengelakkan membuat kenyataan yang mengguriskan hati rakyat.
“Saat masalah (krisis) timbul..(pihak berwajib) boleh menganjurkan dialog, berbincang, siasat dan ambil langkah untuk mengatasi masalah tersebut.
“Bukannya seperti sesetengah pihak menyindir rakyat dengan menyamakan kegusaran masyarakat dengan retorika politik.
“Rakyat boros suka makan di luar, rakyat makan banyak, sekampit beras cukup untuk sebulan, pembelian panik dan macam-macam lagi disebut mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/10/2023




















