Saya nak pancing menteri, umpan mengena – Dr Azman

- Advertisement -

KUALA NERUS: ‘Umpan pancing’ mengena selepas Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menafikan dakwaan sekatan untuk Exco Kerajaan Terengganu, Dr Azman Ibrahim menyertai program anjuran kementerian berkenaan.

- Advertisement -

Menurut Dr Azman, kenyataan yang dikeluarkan beliau menerusi laman Facebook sebagai umpan untuk melepaskan orang bawahannya yang menerima arahan tidak bertulis.

“Memang ada arahan tidak bertulis. Apa yang saya buat itu lebih kepada letak umpan.

“Saya nak bebaskan pengarah, ketua jabatan di Terengganu dari arahan-arahan yang tidak sah daripada pengerusi, lembaga pengarah beberapa agensi yang melarang penglibatan exco negeri dalam program-program mereka.

“Tapi arahan ini kalau diminta bukti tidak ada, tetapi sebenarnya arahan itu ada, memang ada arahan tidak bertulis,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri itu. .

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Input Penternakan Ruminan Tahun 2023 di Dewan Masyarakat Tok Jiring, di sini, hari ini. Hadir sama ialah Pengerusi Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Hishamuddin Abdul Karim. (Foto atas)

Menurut Azman, tulisan yang dikeluarkannya juga bagi mengumpan untuk menteri berkenaan mengeluarkan kenyataan yang jelas.

“Saya nak pancing menteri supaya keluarkan satu kenyataan hitam putih bahawa tidak ada larangan.

“Jadi, alhamdulillah umpan pancing kita mengena dan kelmarin menteri sudah keluarkan kenyataan.

“Saya sudah maklum kepada pengarah-pengarah jabatan tidak ada sebarang kerisauan lagi dan buat macam biasa, siapa sekat lapor terus pada menteri,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/9/2023

- Advertisement -