
KUALA LUMPUR: Dato’ Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) yang mendakwa orang muda belum cukup pendidikan untuk mengundi dan hanya tahu bermain permainan komputer, berubah nada apabila Ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL (PN) membidasnya.
Ketika perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini, Koo Ham melahirkan kegusaran dengan trend pengundi muda yang dikatakan tidak membuat pilihan dengan baik.
“Rakyat terutama pengundi muda, hendaklah diingatkan bahawa semasa pilihan raya mereka memilih pemimpin mereka, dan bukan untuk agama atau bangsa.
“Saya nampak gejala tidak sihat timbul apabila hak mengundi diturunkan daripada 21 tahun kepada 18 tahun kerana kerajaan tidak sempat memberi pendidikan kepada mereka semasa di bangku sekolah sebelum diberikan kuasa untuk membuat pilihan.
“Ini penting kerana saya nampak semasa pilihan raya, satu Tiktoker memberi ajaran salah, iaitu satu undi untuk PN adalah satu undi untuk Islam,” katanya.
Ketika pilihan raya, Koo Ham berkata pengundi bukan memilih sesuatu agama atau bangsa, tetapi memilih pemimpin yang boleh menyatupadukan rakyat, menjaga keharmonian dan kesejahteraan rakyat.“
Hujahnya menyebabkan Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) mencelah dan membidasnya serta menegaskan bahawa orang muda telah bersedia dan mampu untuk membuat pilihan atas kapasiti mereka sendiri.
“Beruas sebut apabila diturunkan umur mengundi, seolah-olah anak muda belum bersedia, sedangkan perkara ini telah dibincang dalam Parlimen, termasuk Yang Berhormat sendiri.
“Di belakang sana, saya sendiri sedih melihat anak-anak (pelawat di Dewan Rakyat) apabila sampai umur 18 tahun, mereka telah lebih daripada bersedia melalui sistem pendidikan yang ada.
“Begitu juga maklumat yang ada, mereka tentu lebih daripada bersedia untuk membuat keputusan bagi memilih parti yang terbaik bagi negara ini,” katanya.
Koo Ham apabila dibidas oleh Putrajaya dan Ahli Parlimen PN lain memberi alasan bahawa kenyataanya diputar belit dan disalahfahami dengan mengatakan tidak salah menurunkan had umur, namun pemuda masih belum cukup pendidikan. – HARAKAHDAILY 12/9/2023




















