Rakyat perlu latihan hadapi bencana alam

Dr Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rakyat terutama dari peringkat tadika perlu diberi latihan untuk berhadapan dengan bencana alam, kata Pengerusi All Women Empowerment To Accelerate (AWETA), Dr Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir.

- Advertisement -

Jelas beliau, ini bagi membolehkan rakyat tahu apa yang perlu dilakukan apabila berlaku sesuatu bencana seperti yang telah lama diamalkan oleh negara-negara maju seperti Jepun.

Katanya, ini jadi bertambah penting dalam keadaan berlakunya fenomena perubahan iklim pada masa kini yang menyebabkan berlaku bencana alam yang tidak pernah berlaku di negara ini sebelum ini.

“Sekarang ni sudah ada bukan saja banjir. Dulu kita hanya dengar banjir. Tapi sekarang ni kerana pemanasan global yang saya istilahkan sebagai ‘kiamat iklim’,” ujar beliau.

Dr Sharifah menyatakan perkara itu kepada Harakahdaily dalam program Diskusi Hala Tuju Alam Sekitar Bersama NGO, dan Pakar anjuran Yayasan Strategik Lestari (YSL) yang berlangsung di Bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Tambah beliau lagi, apa yang berlaku sekarang ini ialah kerana Malaysia sudah berhadapan dengan bencana alam yang sebenar akibat perubahan iklim.

“Contoh dulu kita tak pernah ada tornado, sekarang dah ada. Dulu kita tak pernah ada landslide, sekarang kita ada landslide.

“Dulu kita tak pernah ada tebing-tebing yang berisiko tinggi, sekarang kita ada 250 tebing yang kritikal. Ini semua keluar dalam media.

“Jadi, banjir kita sampai berlaku banjir yang dari mana datang air sebesar itu, sekuat itu? Apa mereka kena buat persiapan untuk menghadapi ini,” ujarnya

Beliau percaya bahawa rakyat masih mempunyai kefahaman yang minimum berdasarkan sambutan luar biasa yang beliau terima setiap kali beliau mengadakan siaran langsung di aplikasi TikTok atas nama @kiamatiklimbersamadsm atau #KIAMATIKLIM.

Jelas Dr Sharifah, dalam kebanyakan siaran langsung beliau, rakyat bertanya berbagai-bagai soalan tentang apa yang mereka perlu lakukan jika berlaku bencana, lebih-lebih lagi yang jarang mereka hadapi sebelum ini.

“Kita kena buat ‘persiapan rakyat untuk rakyat’ supaya mereka ini dibantu buat persiapan, termasuk bukan hanya yang mampu berlari tapi yang uzur, orang OKU dan sebagainya seperti yang dilakukan di Jepun.

‘Saya rasa ‘berpendidikan’ itu sangat sangat penting. Kepada saya kita buat seminar, kita buat konferens, itu di peringkat atasan, peringkat pengurusan. Tapi rakyat tak tahu apa-apa. Sekarang ni perlu diadakan banyak kempen, banyak gerak gempur, buat latihan.

“Macam di Jepun, dari sekolah tadika ada buat latihan, bila bunyi saja siren, mereka ambil kusyen di kerusi mereka, sangkut di kepala, duduk bawah meja. Budak semua tahu dan dia orang tak panik. Sebabnya telah diajar, telah diberitahu,” ujarnya lagi.

Diskusi yang dikendalikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Alam Sekitar Sains dan Perladangan, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man itu turut disertai oleh beberapa orang pensyarah universiti tempatan dan juga pemimpin NGO berkaitan alam sekitar.

Antara NGO terlibat ialah seperti Kelab Cinta Alam Kelantan, Persatuan Lestari Alam Malaysia dan Pertubuhan Citra Lestari Alam Negeri Sembilan (Clean9).

Selain itu, turut menyertai ialah Pertubuhan Lestari Alam Selangor (Alam Selangor), Citra Lestari Alam Negeri Sembilan, Pertubuhan Prihatin Alam (PELIHARA) dan Lestari UKM.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim, Bakri Jamaluddin (Tangga Batu), Datuk Azman Nasrudin (Padang Serai) dan Muhammad Islahuddin Abas (Mersing). – HARAKAHDAILY 11/9/2023

- Advertisement -