
MUAR: PERIKATAN NASIONAL (PN) akan meneruskan tawaran yang dikemukakan kepada rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram walaupun tidak memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK), semalam.
Calon PERIKATAN NASIONAL, Dr Mazri Yahya berkata, tawaran itu akan diteruskan untuk masyarakat Simpang Jeram kerana khidmat yang akan diberikan itu khusus untuk masyarakat di DUN itu sahaja.
“Kami telah rancangkan sebelum daripada ini iaitu pelan ataupun wawasan yang apa yang kami lakukan di Simpang Jeram sekiranya kami menang untuk tempoh dua ke tiga tahun akan datang
“Insya-Allah semua wawasan ini akan kami teruskan untuk masyarakat Simpang Jeram walaupun dalam keadaaan kami kalah,” katanya ketika ditemui wartawan di Markas PAS Kawasan Bakri dekat sini, malam tadi.
Beliau juga menyeru kepada semua masyarakat Simpang Jeram untuk bersama-sama menjayakan wawasan itu agar menjadi realiti.
“Insya-Allah kalau berkesempatan saya berharap kepada tuan-tuan dan puan-puan yang berada di Simpang Jeram untuk bersama kami bagi menjadikan wawasan ini satu benda yang realiti walaupun kita tidak menang,” katanya lagi.
Pada PRK itu, PERIKATAN NASIONAL mengemukakan Tawaran Simpang Jeram Sejahtera dan Berpendidikan dengan misi membangun masyarakat majmuk di DUN itu yang sejahtera dan berpendidikan.
Empat tawaran tersebut mengandungi dialog awam berkala, prihatin masyarakat majmuk, pelan penubuhan kompleks sukan dan pelan penempatan rumah mampu milik.
Pada PRK DUN Simpang Jeram semalam, Dr Mazri memperolehi 10,330 undi sementara calon PH, Nazri Abdul Rahman mendapat 13,844 undi dan calon Bebas, S Jegananthan mengutip 311 undi.
Seramai 24,485 daripada 40,301 pengundi atau 60.85 peratus keluar mengundi pada PRK itu di mana 74 undi ditolak, manakala 12 undi tidak dikembalikan. – HARAKAHDAILY 10/9/2023











