Tanya rakyat Johor, mana slogan reformasi

- Advertisement -

Oleh M FAQIH

SETIAP kali pertandingan berlangsung, hanya ada dua pilihan di akhir perlawanan. Kalah atau menang. Jarang-jarang seri. Kalau seri akan ada sepakan penalti.

Begitu juga pertempuran di medan politik. Sebelum tiba hari mengundi, pelbagai andaian dan teori muncul. Masing-masing mahu menjadi pak nujum.

- Advertisement -

Era sebelum muncul arus internet, orang ramai hanya disaji laporan akhbar dan siaran media elektronik. Mendapat input pilihan raya melalui media perdana, awal-awal lagi disaji parti kerajaan akan menang.

Editor akan mengolah apa sahaja dapatan untuk mengumpan berita gembira untuk kerajaan. Ia berlaku sejak 1959 sehingga 2018. Sebaliknya bagi mendapat bayangan bukan parti kerajaan sebagai pemenang, jangan tengok media perdana.

Kita boleh cari pilihan lain. Antaranya Harakah. Akhbar wadah Islam itu muncul sejak 1987. Dan masih ada usia sehingga sekarang. Namun rakan-rakan ‘sejenis’ seperti Roket, Suara Keadilan sudah lama hilang.

Namun, kajian syarikat penyelidik pasaran mendedahkan 40 peratus rakyat negara ini tidak mempercayai laporan media. Benarkah begitu.

Sedangkan Thomas Carlyle pada abab awal menyifatkan akhbar sebagai ‘fourth estate of the realm’. Media dianggap sebagai cabang keempat sifir demokrasi selepas eksekutif, perundangan dan judikatif.

Sekarang manusia mendapat maklumat lebih mudah. Hari ini muncul media sosial yang menyediakan aplikasi seperti Facebook, Instragram, Telegram, TikTok, X dan pelbagai lagi.

Internet mengambil alih peranan media tradisional. Khairun Nizam dari UiTM menyifatkan ekonomi maklumat tidak lagi berpaksi kepada nilai berita, sebaliknya dipengaruhi emosi.

Pengaruh internet jauh lebih hebat. Maka tidak hairan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15, TikTok milik Menteri Besar Kedah disekat.

Pada 15 Julai lepas akaun TikTok rasmi Sanusi Md Nor tidak boleh diakses.
Sanusi menggunakan TikTok sejak 2021. Akaunnya mempunyai lebih 450,000 pengikut dan menerima 5.3 juta tanda suka.

Ekoran itu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memberitahu pihaknya tidak menerima sebarang arahan untuk menyekat akaun TikTok rasmi Sanusi.

Menteri Dalam Negeri pula menegaskan kerajaan tidak mempunyai kuasa menyekat mana-mana akaun TikTok.

Namun, selepas dua hari isu itu geger, tiba-tiba ia boleh diakses. Angkara siapa, tentunya ada tangan ghaib.

Rakyat pun tahu. Maka tidak hairanlah mereka menolak ansur-ansur kerajaan PH di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan pada 12 Ogos lepas.

PRK

Begitu juga ketika berdepan Pilihan Raya Kecil (PRK) sekarang. PRK di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, Muar akan diadakan Sabtu ini. Mungkinkah sekali lagi rakyat menolak PH.

Ketika kekuatan agak seimbang di Pulai dan Simpang Jeram, tiba-tiba rakyat disajikan dengan kisah yang jarang berlaku.

Presiden Umno Zahid Hamidi dilepaskan tanpa bebas daripada kesemua 47 pertuduhan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hakim membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar untuk melepas tanpa membebaskan Zahid.

Pihak pendakwaan memberhentikan prosiding dengan alasan mahu menyiasat kes itu lebih mendalam. Apa ceritanya, tanya bangsa Johor.

Ia tiba-tiba berlaku selepas Peguam Negara sebelum ini Idrus Harun dilaporkan bercuti menunggu persaraan.

Tugasannya kemudian diambil alih Peguam Cara Negara, Terriruddin Salleh.
Sebelum itu Raja Rozela Raja Toran juga dilapor memohon persaraan awal.

Rozela sebelum ini berjaya membuktikan wujud prima facie terhadap Zahid.
Kes itu bermula 19 Oktober 2018. Zahid didakwa di Mahkamah Sesyen atas 10 tuduhan pecah amanah dan lapan tuduhan rasuah berjumlah RM42 juta.

Selain itu 27 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM72 juta. Dan pada 24 Januari 2022 Mahkamah Tinggi memerintahkan Zahid membela diri terhadap 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Lima tahun kes berkenaan dibicarakan. Tiba-tiba pihak pendakwa memberhentikan kes tersebut. Banyak pihak pelik dan hairan. Antaranya ahli parlimen PH dari Pasir Gudang, Hassan Karim.

Beliau mempersoalkan langkah kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim melepas
tanpa dibebaskan Zahid.

Mana slogan reformasi

“Kita hari-hari bercakap basmi korupsi, kita berdiri di tahap moral yang tinggi. Bebas dari rasuah tegakkan integriti, kita melaungkan slogan reformasi. Tetapi bolehkah rakyat percaya semua ini,” tanya Hassan.

Dan hari ini seorang lagi pemimpin Umno dilepas tanpa dibebas oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Mahkamah membatalkan perintah Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin dan isterinya Zizie Izette supaya membela diri kes rasuah RM2.8 juta.

Sedangkan 2 September tahun lepas, hakim perbicaraan memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Berdasar perkembangan itu ramai percaya banyak kes lain membabit pemimpin parti kerajaan berpeluang mendapat keistimewaan seperti Zahid dan Bung.

Isu yang berlaku itu semua rakyat tahu. Begitu juga pengundi Pulai, Simpang Jeram dan Pelangai. Ramai sedar martabat hakim rakyat lebih tinggi. Ia lebih menakutkan.

Mereka sudah membuktikan pada PRN di enam negeri 12 Ogos lepas. Dan Sabtu ini di Johor pula.

Bayangan awal PH-BN disisih rakyat sudah muncul. Baru-baru ini program Ceramah Perpaduan Pulai anjuran PH di Taman Dahlia, Pulai hanya dihadiri beberapa penduduk.

Kehadiran Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution; Pengerusi Umno Perak, Saarani Mohamad dan Pengerusi Umno Kedah Mahdzir Khalid seperti tidak dihiraukan.

Malah kehadiran artis termasuk Ito Blues Gang dan Kid Afero juga tidak mampu menarik minat mereka. Majoriti di situ penduduk Melayu. Jawapan awal sudah terhidang sebelum perlawanan sebenar bermula. – HARAKAHDAILY 7/9/2023

- Advertisement -