Apabila anak muda mula faham mengenai politik

- Advertisement -

KEGELISAHAN rakyat bukan-Islam berkaitan gelombang hijau yang dikaitkan dengan PAS sebenarnya tidak berasas, malahan tiada bukti menunjukkan bahawa ‘gelombang hijau’ telah menyebabkan keharmonian hidup masyarakat majmuk Malaysia terjejas.

Sebenarnya dalam PRU15 dan PRN yang lepas, jelas dilihat kemenangan PERIKATAN NASIONAL (PN) adalah hasil sokongan luar jangka sebahagian besar orang Melayu dan anak muda serta pengundi awal terhadap PN.  Namun, apa yang perlu disedari oleh semua pihak, sokongan ini bukanlah sokongan tetap (permanent support) tetapi lebih cara anak muda yang melihat kepada keadaan semasa. Boleh jadi mereka yang mengundi parti A akan mengundi parti B pada pilihan raya berikutnya.  Sebenarnya apa yang dimaksudkan dengan gelombang hijau bagi sesetengah pihak adalah disebabkan oleh 2 faktor utama yang mungkin juga akan menjadi penentu kepada PRN di Simpang Jeram dan juga Pulai pada Sabtu ini. 

Faktor pertama, golongan muda – Melayu sebenarnya memilih mereka yang mempunyai kewibawaan dan integriti yang tinggi. Jika dilihat dalam siri PRN 6 negeri, gabungan PH-BN berjaya mengekalkan pemerintahan Kerajaan Negeri Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, namun gabungan tersebut mencatatkan defisit di ke semua negeri yang dipertandingkan. Hal ini kerana Selangor sebagai contoh, kebanyakan rakyatnya melihat kerajaan negeri tidak banyak terpalit dengan isu integriti. Walau bagaimanapun, Selangor tetap kehilangan majoriti dua pertiga dengan memenangi hanya 34 kerusi berbanding 51 kerusi yang dimenanginya pada PRU-14 yang lalu. Kebanyakan arus penolakan kepada BN-PH ini berlaku di Kawasan yang majoriti Melayu melebihi 65 peratus. Ini disebabkan selain anak muda, kebanyakan penyokong Umno meluahkan kemarahan selepas ditipu oleh PH dan BN dalam PRU15. PH dalam PRU15 menafikan mahu bekerjasama dengan BN atas beberapa isu integriti namun bertindak sebaliknya. Berdasarkan kepada tindakan tersebut, rakyat terutamanya anak muda dan Melayu melihat PERIKATAN NASIONAL sebagai satu alternatif yang mampu membawa nilai integriti. Kepercayaan kepada PN semakin bertambah bila mana Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepaskan dan membebaskan Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY), atas empat tuduhan rasuah berjumlah RM232.5 juta. Anak muda dan pengundi Melayu atas pagar percaya bahawa pendakwaan terhadap TSMY adalah bermotifkan politik semata-mata. 

Selain itu, faktor  pengagihan peruntukan Ahli Parlimen dan ADUN merupakan faktor yang menyumbang kepada rakyat memilih  kepada pakatan yang mengamalkan tindakan adil dan sama rata. Tindakan  Kerajaan Persekutuan yang menyekat peruntukan Ahli Parlimen pembangkang yang dipilih rakyat November lalu memperlihatkan kepada rakyat bahawa gagasan PH-BN ini tidak bersikap adil kepada rakyat. Berbeza pula dengan sikap Kerajaan Negeri Kelantan dan Kedah di bawah pentadbiran PAS-PN. Menteri Besar di kedua-dua negeri ini telah mengumumkan akan memberi peruntukan seimbang kepada semua ADUN  tanpa mengira sama ada parti pemerintah atau pembangkang. Ini memberi suatu pemahaman kepada rakyat bahawa pendekatan yang dibawa oleh PN adalah lebih matang dan menguntungkan rakyat. Rakyat merasakan nasib mereka akan lebih terbela di bawah PN.  

Faktor ini adalah hakikat yang perlu diterima oleh pimpinan PH-BN, bahawa gelombang ini berlaku bukanlah kerana sokongan kepada Melayu-Muslim semata-mata. Namun ia sebenarnya adalah gelombang integriti yang melawan gelombang retorik. Kerajaan PH-BN perlu membuktikan bahawa mereka tidak beretorik dalam menguruskan ekonomi dan pentadbiran negara. Mereka perlu melakukan apa yang dijanjikan (walk the talk) dalam manifesto. Jika tidak, anak muda akan semakin menjauh diri mereka dari Kerajaan PH-BN dan terus memberi sokongan hebat kepada PN.

DR MUKHTARUDDIN MUSA
Pengarah Bahagian Penyelidikan & Penerbitan Yayasan Strategik Lestari (YSL)
Mantan Pensyarah UMK – HARAKAHDAILY 7/9/2023

- Advertisement -
- Advertisement -