
SAYA menzahirkan kebimbangan mengenai ketidakstabilan dalam bekalan beras padi di negara kita mutakhir ini. Melihat keperluan penting untuk menangani isu ini, saya mendesak Kerajaan Malaysia untuk segera mengadakan Sidang Khas Parlimen pada minggu hadapan ketika jadual sesi khas Parlimen akan membahaskan Kajian Separuh Penggal RMKe-12.
Sidang Khas berkaitan keperluan terkini bekalan beras dan perancangan masa depan perlu disegerakan oleh kerajaan untuk memastikan bekalan beras negara kekal terjamin. Saya juga menekankan keperluan merangka perancangan jangka masa panjang dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMKe-13) untuk mengatasi masalah bekalan beras dalam khusus sasaran meningkatkan tahap sara diri (SSL) negara kepada 100 peratus.
Rancangan Malaysia ke-12 (RMke-12) telah menyatakan komitmen kepada usaha pemulihan dalam sektor pertanian dan bekalan makanan. Namun, saya melihat dengan kebimbangan bahawa bekalan beras tempatan tidak akan pulih dalam masa sebulan, seperti yang diumumkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan baru-baru ini. Saya juga melahirkan ketidakyakinan kenyataan bahawa bekalan beras tempatan akan pulih dalam masa sebulan ini memandangkan sesi libat urus pengilang dan pemegang taruh industri beras negara hanya baru diadakan pada hari ini iaitu pada 7 September 2023. Saya yakin bahawa kaedah dan mekanisme berkaitan usaha pemulihan perlu dibincangkan dan diselidiki secara menyeluruh untuk memastikan keberkesanannya. Ini bukanlah masalah yang boleh diselesaikan dengan cepat, dan keputusan yang dibuat sekarang akan mempengaruhi masa depan bekalan beras negara.
Selain itu, larangan eksport beras oleh negara-negara seperti Thailand dan India telah menyebabkan ketidakstabilan dalam bekalan beras di peringkat global. Ini telah memberi kesan terhadap negara-negara import seperti Malaysia, yang mengalami kenaikan harga beras yang drastik. Keadaan ini telah memberi tekanan kepada rakyat Malaysia yang sedang berusaha untuk menghadapi kenaikan kos sara hidup.
Masalah ini juga dipengaruhi oleh konflik peperangan dunia dan perubahan iklim yang semakin meruncing, yang telah mengganggu pengeluaran tanaman secara keseluruhannya. Hal ini mengakibatkan kenaikan harga beras yang tidak dapat dielakkan. Saya menggesa agar suatu sidang khas Parlimen Malaysia diadakan segera untuk membincangkan dan mencari penyelesaian yang diperlukan bagi mengatasi isu ini. Keberkesanan dan kestabilan bekalan beras adalah kunci kepada kedaulatan makanan di Malaysia, dan kepentingan rakyat harus dipelihara dengan sepenuh hati. Langkah-langkah intervensi yang diperlukan dalam pelan ini haruslah merangkumi aspek-aspek berikut:
i. Peningkatan pengeluaran beras tempatan: Kerajaan digesa untuk memberi tumpuan kepada peningkatan pengeluaran beras tempatan dengan menyokong pesawah-pesawah tempatan melalui penyediaan teknologi moden, latihan, dan bantuan kewangan yang lebih besar.
ii. Penentuan harga siling untuk beras import: Adalah penting untuk mengkaji semula dan menetapkan harga siling untuk beras import. Ini akan memastikan bahawa beras tempatan bersaing dengan saksama dengan beras import, serta mengelakkan penyalahgunaan harga oleh pihak tertentu.
iii. Pelan pemulihan jangka masa sederhana dan panjang: Kerajaan diminta untuk merangka pelan pemulihan yang komprehensif termasuk langkah-langkah jangka masa sederhana dan panjang. Ini perlu disusun dengan teliti dan berlandaskan kepada analisis menyeluruh mengenai masalah bekalan beras negara.
iv. Perkongsian data dan kerjasama industri: Kerajaan harus menggalakkan perkongsian data yang lebih baik di antara pemain industri beras untuk memantau dan meramal bekalan dengan lebih efisien. Kerjasama antara sektor awam dan swasta juga penting untuk mencapai matlamat ini.
Akhir kata, saya menekankan keperluan segera mengadakan sidang khas Parlimen Malaysia untuk membincangkan langkah-langkah besar yang perlu diambil dalam menghadapi isu kritikal ini. Ini adalah masa yang sesuai untuk menyatukan kepakaran dan sumber daya negara dalam menangani masalah bekalan beras padi, yang merupakan tulang belakang kestabilan dan keterjaminan makanan negara.
YB AHMAD TARMIZI SULAIMAN
Ahli Parlimen Sik
Ahli PAC
Pengerusi
Perhubungan PERIKATAN NASIONAL Parlimen Sik
7 September 2023 – HARAKAHDAILY 7/9/2023











