
KOTA BHARU: “Soal Perdana Menteri turut sama menonton konsert tu terpulanglah, saya tidak mahu komen, orang ramai boleh buat penilaian sendiri,” ujar Ahmad Fadhli Shaari.
Bagaimanapun, Ketua Pemuda PERIKATAN NASIONAL (PN) kesal tindakan pihak tertentu mengundang anak-anak tahfiz menghadiri konsert yang turut dihadiri Dato’ Seri Anwar Ibrahim
Beliau sedih dan kesal melihat perkara tersebut daripada sebuah video tular yang dikongsikan di media sosial.
“Pihak yang menjemput anak-anak tahfiz sepatutnya sensitif kerana pelajar terbabit berpakaian jubah dan berserban datang ke konsert.
“Apa tujuan membawa anak-anak pelajar agama ke konsert seperti itu? Apa nilai yang anda ingin sampaikan,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya, hari ini.
Sabtu lepas, Perdana Menteri dan isteri, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut menghadiri konsert KEPCI Music Fest 2023 anjuran KFC.
Konsert yang diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam, turut dihadiri Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; Pengerusi QSR Brands, Tan Sri Jamaluddin Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif QSR Brands, Nehchal Khanna.
Konsert terbabit menampilkan penyanyi terkenal termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Amy Search, Ella dan Misha Omar. – HARAKAHDAILY 29/8/2023











