
KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud mengucapkan tahniah kepada kepada qari Malaysia Muhammad Qayyim Nizar Sarimi yang dinobatkan sebagai johan Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) 1445H/2023.
Katanya, kejayaan qari dari Kelantan itu merupakan satu detik bersejarah kepada negara dan negeri itu dengan keistimewaan membaca al-Quran menggunakan naskah al-Quran Braille.
Beliau berkata, ini menunjukkan ketinggian mukjizat al-Quran yang sentiasa dijaga kemulian oleh Allah SWT sebagaimana firman Allah dalam surah al-Hijr, ayat 9 yang bermaksud: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya”.
“Kerajaan negeri akan meneruskan usaha-usaha memartabatkan generasi al-Quran dan menyeru agar seluruh rakyat negeri Kelantan menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup seharian,” ujarnya dalam hantaran di Facebook beliau, malam tadi.
Muhammad Qayyim, yang juga orang kurang upaya (OKU) penglihatan sejak lahir muncul juara kategori lelaki dengan memperoleh markah sebanyak 94.96 peratus.
Beliau mencatat sejarah kerana menjadi OKU pertama bergelar juara qari kebangsaan sejak majlis tilawah diadakan.
Beliau bersyukur kerana usahanya selama 16 tahun mendalami dan mempelajari skil bacaan al-Quran menggunakan naskhah Braille membuahkan hasil pada MTHQA kali ini.
“Perasaan saya gembira ada, sebak ada… bagi saya, kita kena ada minat dalam bidang tarannum, saya sarankan untuk kita semua belajar tarannum sebab ia boleh buat kita rasa seronok dan kita boleh bawa bacaan dalam solat,” katanya dipetik Bernama.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada ayah serta keluarga yang sentiasa memberikannya sokongan dan galakan dalam bidang itu.
“Pada sesiapa yang ada masalah penglihatan, kita ni kena juga belajar baca al-Quran kerana dengan al-Quran ni, cerah masa depan kita,” katanya yang sebelum ini menjuarai Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1444H/2023M. – HARAKAHDAILY 25/8/2023











