Ustaz Nassuruddin timba pengalaman bekas MB, TMB

Ustaz Mohd Nassuruddin dan Dr Mohamed Fadzli mengunjungi bekas Menteri Besar Kelantan.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud mengunjungi hormat bekas Menteri Besar (MB) Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob dan bekas Timbalan Menteri Besar (TMB), Dato’ Mohd Amar Abdullah.

Hadir sama pada kunjungan mahabah tersebut semalam ialah Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan dan isteri masing-masing.

- Advertisement -

Menteri Besar berkata, beliau mendapatkan pandangan dan nasihat daripada kedua-dua pemimpin terbabit berdasarkan pengalaman serta kewibawaan mereka.

“Tunjuk ajar dan pandangan mereka begitu penting bagi membolehkan saf kerajaan negeri sekarang meneruskan kesinambungan legasi Membangun Bersama Islam ke arah Kelantan Maju Rakyat Sejahtera,” katanya di sini.

Ustaz Ahmad yang juga Adun Pasir Pekan mengetuai kerajaan negeri menggantikan Tuan Guru Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat yang berundur kerana masalah kesihatan selepas Pilihan Raya Umum 2013.

Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar Kelantan mengunjungi Dato’ Mohd Amar di Pengkalan Chepa.

Beliau berganding dengan Mohd Amar yang juga Adun Panchor mengurus tadbir kerajaan negeri selama 10 tahun.

Ziarah mahabah ke atas Ustaz Ahmad diadakan di kediamannya di Kampung Alor Pasir. Wakaf Bharu, Tumpat. Manakala rumah Mohd Amar di Kampung Panchor, Pengkalan Chepa.

“Selama 10 tahun memacu pentadbiran Kelantan melalui fasa Merakyat Membangun Bersama Islam meletakkan Kelantan sebagai sebuah negeri yang sangat dihormati dengan dasar pentadbiran Islam,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 24/8/2023

- Advertisement -