
GUA MUSANG: Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim berharap pihak berkuasa menimbang pampasan sewajarnya kepada penduduk yang terbabit dengan laluan projek pembinaan Lebuh Raya Central Spine Road (CSR).
Beliau berkata, penduduk mendakwa premis kedai dan rumah mereka terpaksa diroboh kerana terlibat dengan laluan projek CSR di kawasan Kesedar Renok Baru.
Katanya, beliau memahami kesukaran yang dihadapi penduduk terlibat kerana kehilangan tempat kediaman dan premis tempat mencari rezeki.
“Saya akan berusaha memastikan penduduk terlibat mendapat pertimbangan pampasan sewajarnya daripada agensi atau jabatan berkenaan,” katanya pada kenyataan di laman sosialnya.
Menurutnya juga pada pertemuan yang diadakan dengan penduduk terlibat, pihak perunding projek dan kontraktor pelaksana projek CSR Pakej 2C memberi penerangan mengenai projek tersebut.
“Bersama kita berdoa semoga Allah SWT permudahkan urusan pampasan. Saya juga mohon agensi terlibat tidak melabelkan penduduk yang terlibat di Kesedar Renok Baru sebagai ‘penceroboh’.
“Perkataan itu merujuk kepada dokumen yang ditunjukkan kepada saya,” ujar beliau yang juga Adun Nenggiri.
Projek Lebuhraya Central Spine Road dari Kuala Krai ke sempadan Gua Musang-Pahang dijangka siap pada akhir 2025.
Projek terbabit membabitkan kos berjumlah RM3.2 bilion dan melibatkan jarak sepanjang 129.5 kilometer sedang giat dijalankan sekarang. – HARAKAHDAILY 21/8/2023











