Neymar sertai kelab Arab Saudi, Al-Hilal

Neymar memegang jersi Al-Hilal bersama Presiden Liga Pro Saudi, Fahd bin Saad Al-Nafel - REUTERS
- Advertisement -

Neymar menandatangani kontrak dua tahun di Al-Hilal Arab Saudi selepas enam tahun bersama Paris St Germain (PSG) dengan penyerang Brazil itu memenangi beberapa piala domestik, tetapi bukan Liga Juara-Juara yang diidamkan oleh kelab itu.

Tiada butiran kewangan didedahkan semalam, tetapi bayarannya dilaporkan kira-kira 90 juta Euro (AS$98.24 juta) dan tertakluk kepada pemeriksaan perubatan terhadap pemain berusia 31 tahun itu.

- Advertisement -

Akhbar Perancis L’Equipe melaporkan bahawa perjanjian itu memberikan `durian runtuh’ kepada Neymar sehingga 160 juta Euro.

Kelab Liga Profesional Saudi (SPL), Al-Hilal mengumumkan bahawa Neymar menandatangani kontrak sehingga 2025 dengan pemain Brazil itu berkata, “Saya di sini, di Arab Saudi, saya Hilali” dalam video akaun media sosial pasukan itu.

“Saya telah mencapai banyak kejayaan di Eropah dan menikmati masa istimewa, tetapi saya sentiasa mahu menjadi pemain global dan menguji diri saya dengan cabaran dan peluang baharu di tempat baharu,” kata Neymar selepas menandatangani kontrak di Paris, semalam.

“Saya mahu menulis sejarah sukan baharu dan Liga Pro Arab Saudi mempunyai tenaga yang luar biasa dan pemain berkualiti pada masa ini.

“Saya telah mendengar banyak dan mengetahui bahawa saya mengikuti senarai panjang pemain Brazil yang pernah bermain di Arab Saudi selama ini, jadi saya percaya ia adalah tempat yang diinginkan.

“Saya suka menang dan menjaringkan gol serta merancang untuk terus melakukannya di Arab Saudi bersama Al-Hilal.”

Rekod dunia

Neymar menyertai PSG pada 2017 dari Barcelona dengan bayaran rekod dunia sebanyak 222 juta Euro. Dia menjaringkan 118 gol dalam 173 penampilan untuk kelab Paris itu dan memenangi banyak piala, termasuk lima gelaran Ligue 1.

Pemain Brazil itu memenangi Liga Juara-Juara bersama Barcelona pada 2015, tetapi terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara pada final 2020 ketika PSG tewas kepada Bayern Munich.

“Sukar untuk dielakkan untuk mengucapkan selamat tinggal kepada legenda kelab,” kata Presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi dalam satu kenyataan kelab itu.

“Saya tidak akan lupa hari dia tiba di PSG sertaa apa yang dia bawa ke kelab kami dan projek kami sejak enam tahun lalu.

“Kami telah melalui beberapa detik luar biasa dan Neymar akan sentiasa menjadi sebahagian daripada sejarah kami. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepadanya dan keluarganya.”

Neymar juga bermain 124 kali untuk Brazil, menjaringkan 77 gol – rekod bersama pemenang Piala Dunia tiga kali, Pele. Dia adalah sebahagian daripada pasukan Brazil yang memenangi Piala Konfederasi pada 2013.

Perpindahan Saudi

Kelab paling berjaya di Arab Saudi dan Asia, Al-Hilal memenangi 66 piala dan memegang rekod jumlah kejuaraan liga dan Liga Juara-Juara Asia, masing-masing 18 dan empat.

Pengukuhan skuad itu menjadi keutamaan kelab yang berpangkalan di Riyadh selepas Dana Pelaburan Awam Saudi mengumumkan pada Jun lalu berhubung projek pelaburan dan penswastaan ​​untuk kelab sukan membabitkan juara liga, Al-Ittihad, Al-Ahli, Al-Nassr dan Al-Hilal.

Musim Liga Pro Saudi bermula pada hari Jumaat selepas membelanjakan hampir setengah bilion dolar untuk memikat ramai pemain dan jurulatih terkemuka dari pasukan Eropah.

Penyerang Portugal, Cristiano Ronaldo menyertai Al-Nassr, musim lalu sejurus selepas Piala Dunia Qatar dalam perjanjian yang menjadikannya atlet dengan gaji tertinggi di dunia, manakala Al-Ittihad menandatangani penyerang Perancis, Karim Benzema dari Real Madrid.

Pemenang Liga Juara-Juara UEFA, Riyad Mahrez, Edouard Mendy dan Roberto Firmino, juga menandatangani kontrak untuk Al-Ahli.

Al-Hilal juga cuba mendapatkan bekas rakan sepasukan Neymar, penyerang Perancis Kylian Mbappe dan Lionel Messi, tetapi pemain Argentina itu akhirnya memilih Inter Miami di Amerika Syarikat. – REUTERS

- Advertisement -