
Manchester United memerlukan jaringan pemain pertahanan, Raphael Varane dan aksi cemerlang penjaga gol, Andre Onana untuk meraih mata penuh menewaskan Wolverhampton 1-0 dalam perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris, semalam.
Bekas bek tengah Perancis menanduk masuk pada minit ke-76 selepas Aaron Wan Bissaka membuat hantaran lintang. Jaringan ini adalah antara beberapa gerakan licik United, yang memberikan penampilan sulung kompetitif kepada Onana dan pemain tengah, Mason Mount.
Namun Man U gagal untuk kelihatan padu menentang pasukan pelawat yang menguasai bahagian tengah dan memberikan ancaman secara berterusan.
Wolves menerusi Matheus Cunha membuat rembatan yang terkena tiang gawang Man U pada awal separuh masa kedua, manakala pemain gantian, Fabio Silva memaksa Onana membuat aksi menyelamat hebat ketika United bertahan. Wolves melakukan 23 cubaan ke pintu gol, iaitu paling banyak dilakukan pasukan pelawat di Old Trafford dalam Liga Perdana sejak 2005.
Namun Wolves tidak mempunyai penyudah berbisa seperti musim lalu apabila mencatat jumlah jaringan terendah dalam liga dengan 31 gol.
Onana berdepan detik mencemaskan hingga masa kecederaan apabila kelihatan bertembung dengan pemain gantian Wolves, Sasa Kalajdzic.
Kejadian itu kemudian itu diteliti melalui video, tetapi tiada penalti diberikan, menyebabkan pengurus Wolves, Gary O’Neil, yang tidak puas hati dilayangkan kad kuning di kawasan teknikal.
“Ia kelihatan seperti penjaga gol mereka hampir memenggal kepalanya,” kata O’Neil. “Saya tidak terlalu terkejut kami tidak mendapat penalti, sejujurnya. Pengadil mengambil tindakan terhadap saya, berbanding Onana yang melanggar penyerang saya.”
Onana sebaliknya membuat penampilan sulung mengagumkan, melakukan enam penyelamatan secara keseluruhan dan menunjukkan ketenangan ketika dalam tekanan serta kemahiran yang meyakinkan United untuk membelinya dengan harga ASS$57 juta dari Inter Milan.
Sebaliknya Mount yang menyertai Man U dari Chelsea, hanya bertahan 68 minit sebelum digantikan selepas persembahan tidak berkesan di bahagian tengah.
Kapten United yang baru dilantik, Fernandes berkata pasukannya bergelut untuk menyesuaikan diri dengan taktik Wolves yang menempatkan ramai pemain di bahagian bahagian tengah dan menyerang dengan pantas.
“Kami mempunyai semangat juang yang hebat,” kata Fernandes. “Kadang-kadang anda hanya perlu mencari jalan untuk memenangi permainan.” – AP











