Ahli Umno undi PN kerana mahu penyatuan ummah

'Perpaduan' hanyalah antara Zahid dan Anwar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad yakin ahli-ahli dan penyokong Umno yang mengundi Perikatan Nasional (PN) pada PRN kelmarin dahulu adalah kerana mahukan kepada agenda penyatuan ummah.

Menurutnya, beliau sendiri mendapat reaksi secara langsung mengenai hasrat tersebut ketika turun di lapangan dan program sepanjang kempen PRN itu, termasuk laporan sama daripada Bilik Gerakan Calon PN.

“Sebab itu kita yakin dan percaya konsep penyatuan ummah itu akan dapat kita jalankan. Sekarang ni mereka (ahli dan penyokong Umno) tidak nampak perpaduan yang dilaung-laungkan dalam Kerajaan Perpaduan.

“Mereka lihat ini hanyalah perpaduan antara Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Pakatan Harapan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Tidak wujud pun perpaduan ummah yang sahih, yang sebenar. 

“Maka kita harapkan bahawa mereka yang berada bersama-sama dengan Umno agar mereka ini akan sama-sama dengan PN untuk menuntut satu gagasan yang besar penyatuan ummah,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai.

Mengulas dapatan undi PRN kali ini yang menyaksikan penyokong DAP tidak memberi undi kepada calon Barisan Nasional beliau berharap Umno menyedari sikap sebenar DAP di mana sebelum ini kuat menentang Umno.

“Kalaupun mereka bercakap baik mengenai Umno, itu hanyalah sebagai ‘lipstik’ sahaja untuk mencari atau memberikan keuntungan kepada mereka. Dulu mereka cuba ke atas PAS ketika sama-sama dalam Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat.

“PKR lebih awal, tapi mereka tahu PKR tidak diterima orang Melayu. Kemudian DAP cuba jadikan PAN ayam sabung mereka. Malangnya PAN tidak mampu menggantikan PAS sebagai tonggak kekuatan politik orang Melayu.

“Maka sebab itu sekarang ni mereka cuba pula untuk mencari sokongan di kalangan orang Melayu dalam kalangan orang-orang Umno. Jadi kalau untuk menggunakan Umno sebagaimana yang kita maklum DAP tidak rugi. DAP dia tahu itu. 

“(Kerana) Dia kalau tidak mendapat sokongan orang-orang Melayu dia tak mampu untuk  ‘seat-in’ duduk di dalam kerajaan. Kerana yang penting mereka hendak duduk dalam kerajaan.

“Maka sebab itu pada kita ialah kerjasama antara DAP dengan Umno tidak memberikan apa-apa keuntungan pun kepada Umno,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 15/8/2023

- Advertisement -
- Advertisement -