PH-BN gagal: Tunjuk jalan PMX perlu letak jawatan

- Advertisement -

KEPUTUSAN PRN15 untuk Negeri Kedah pada 12 Ogos 2023 memberi 7 mesej berikut:

(1) Rakyat masih memberi mandat kepada PN untuk terus mentadbir negeri. 

Bahkan, mandat yang diperolehi kali ini adalah lebih besar daripada sebelumnya. Ini menunjukkan bahawa rekod cemerlang 3 tahun di bawah pentadbiran YAB DS Sanusi amat diterima baik oleh rakyat Negeri Kedah. 

Maka, PN perlu terus maju ke hadapan bekerja untuk membangunkan negeri, memulihkan kehidupan rakyat dan memenuhi manifesto yang telah dikemukakan. Rakyat meletakkan harapan yang amat tinggi pada PN untuk membela dan memperjuangkan nasib mereka. 

2) Rakyat sudah tidak mempercayai Umno dan PAN apabila kedua-duanya gagal sama sekali memperolehi walaupun satu kerusi DUN. 

Manakala DAP pula kehilangan 1 kerusi berbanding 2 kerusi yang diperolehinya di dalam PRU14. Begitu juga dengan PKR yang hilang 6 kerusi berbanding 8 kerusi yang diperolehinya sebelum ini. 

Secara keseluruhan, kesemua parti-parti komponen di dalam PH-BN dianggap gagal mendapat tempat dalam kalangan rakyat di dalam PRN kali ini. Umno dan PAN adalah yang paling gagal. 

(3) Rakyat langsung tidak termakan dengan segala macam dakyah dan persepsi jahat yang dimainkan oleh PH-BN. 

Serangan ‘overkill’ dek kerana hasad dengki dan politik dendam yang berterusan kepada Kedah terutamanya isu REE, sedikitpun tidak diterima oleh rakyat Kedah. 

Bahkan, janji PH-BN kononnya hendak mengurus dan mentadbir Kedah dengan lebih baik telah ditolak mentah-mentah oleh rakyat. 

(4) Kekalahan PH-BN kali ini sangat tidak berbaloi buat mereka dalam keadaan mereka;

1. Memegang tampuk kuasa Kerajaan Persekutuan;

2. Menggunakan segala agensi Kerajaan dan aset-aset kerajaan termasuk helikopter;

3. Menyerang dengan semua jenis senjata dan peluru; 

4. Menurunkan panglima-panglima paling handal mereka di tengah medan, bahkan Ketua Panglima mereka sendiri turun hampir setiap hari bergelanggang di Kedah; 

5. Mengangkut seramai mungkin orang ramai dengan bas untuk hadir ke semua majlis-majlis himpunan mereka;

6. Membuat sekatan-sekatan, ugutan malah ancaman kepada pihak lawan; 

7. Mencipta segala bentuk fitnah dan skrip adu domba yang diulang-ulang bagi membentuk persepsi buruk dan jahat kepada Kerajaan Negeri Kedah; 

8. Menyerang peribadi batang tubuh DS Sanusi termasuk ahli keluarga beliau;

9. ‘Menyerang’ Pegawai Kanan Kerajaan Negeri Kedah khususnya Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) dan Pegawai Kerajaan Negeri Kedah (Pengarah Tanah Galian Negeri) dalam isu REE;

10. Mengheret kesemua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Kedah termasuk YB Dato’ Seri SUK, YB Dato’ Wira Pegawai Kewangan Negeri dan YB Dato’ Penasihat Undang-undang Negeri dalam gelanggang politik apabila disoal-siasat oleh SPRM selama berjam-jam;

11. Memotong bumbung bas yang sempurna sehingga menjadi cacat dan dinamakan Bas Madani. 

(5) Data Undi Awal dalam kalangan anggota keselamatan dan petugas pilihan raya menyaksikan PN menang di semua tempat. 

Ianya memberi mesej bahawa anggota keselamatan dan petugas pilihan raya sendiri telah menolak PH-BN khususnya Menteri Senator yang mengetuai kementerian berkenaan. 

(6) Rakyat menolak gagasan Madani songsang oleh Perdana Menteri ke-10 (PMX). 

Salah guna kuasa, salah guna aset kerajaan untuk pentas politik, salah guna dana kerajaan untuk meraih undi, dan segala bentuk salah laku lain dianggap menjadi punca terbesar mengapa rakyat menolak gagasan Madani. 

Segala tatakelola dan wewenang nampaknya gagal dicerakinkan dengan baik. Rakyat menolak semua retorik politik kosong yang diungkapkan di atas pentas ceramah. 

(7) Selain Kedah, Kelantan dan Terengganu yang menyaksikan mandat besar diberikan kepada PN, mesej yang besar juga turut diberikan oleh  rakyat di Selangor apabila negeri PKR itu gagal memperolehi majoriti 2/3. 

DAP di Pulau Pinang juga mulai tergugat apabila bilangan ADUN Pembangkang sudah semakin bertapak di negeri itu. 

Begitu juga halnya dengan Negeri Sembilan yang memperlihatkan kebangkitan rakyat yang menolak PH di beberapa buah kerusi. 

Maka, berdasarkan 7 mesej di atas, gabungan campuran PH-BN dilihat gagal mengemudi negara dan gagal mendapat kepercayaan daripada rakyat. 

PH-BN gagal mewujudkan kestabilan politik dan ekonomi sepanjang hampir 9 bulan menerajui kepimpinan negara. 

Oleh itu, PMX bersama kabinetnya wajar meletakkan jawatan. 

Satu gabungan politik baharu wajar diterokai dengan segera untuk membentuk kepimpinan baru Kerajaan Persekutuan bagi menyelamatkan Malaysia! Saya ulanggg… PMX perlu letak jawatan! 

YB USTAZ AFNAN HAMIMI DATO’ TAIB AZZAMUDDEN
Ahli Parlimen Alor Setar
Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 13/8/2023

- Advertisement -
- Advertisement -