PERIKATAN NASIONAL dijangka menang lebih besar

- Advertisement -

MARANG: PERIKATAN NASIONAL dijangka menang lebih besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini berbanding keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 bagi parlimen.

- Advertisement -

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, jangkaan itu dilihat berdasarkan lawatannya di beberapa tempat.

“Lihat perkembangan keseluruhan yang saya lakukan lawatan sangat menggalakkan insya-Allah kita mendapat kejayaan.

“Insya-Allah dijangka lebih besar daripada keputusan parlimen, saya harap begitu. Insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan tanggungjawab mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sekolah Kebangsaan Rusila, di sini, pagi ini.

Beliau juga menyeru kepada seluruh pengundi untuk keluar menunaikan tanggungjawab memilih pemimpin.

“Saya berseru sekali lagi kepada seluruh pengundi-pengundi tunaikan tanggungjawab mengundi, kerana mengundi ini adalah kewajipan memilih pemimpin yang mewakili kita, memilih kerajaan yang memerintah kita,” katanya.

Tuan Guru Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang itu tiba di pusat mengundi undi itu jam 8.17 pagi dan selesai mengundi di saluran 1 enam minit kemudian.

Sebanyak lapan saluran dibuka untuk melancarkan proses pembuangan undi dan 4,651 pengundi berdaftar di pusat mengundi tersebut.

Abdul Hadi juga sempat beramah mesra dengan pengundi yang berada di luar SK Rusila untuk mengundi.

Pada PRN kali ini menyaksikan pertembungan dua penjuru di Dun Ru Rendang yang mempunyai 32,867 pengundi antara Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dengan calon Pakatan Harapan (PH), Suhaimi Sulaiman.

Ahmad Samsuri yang bertanding buat kali pertama pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) memenangi kerusi berkenaan selepas menewaskan dua calon lain dengan majoriti 6,028 undi.

Pada PRU14, Ahmad Samsuri memenangi kerusi DUN Ru Rendang selepas memperoleh 13,851 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Nik Dir Nik Wan Ku (7,823 undi) dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zarawi Sulong (729 undi). – HARAKAHDAILY 12/8/2023

- Advertisement -