
KOTA BHARU: Bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar Tan Sri Annuar Musa mendedahkan masalah gangguan bekalan air di Kelantan berlaku sejak negeri itu ditadbir Barisan Nasional (BN) sebelum 1990.
Beliau berkata, masalah yang berlaku itu merupakan peninggalan kerajaan BN ketika ditadbir Menteri Besar Tan Sri Mohamed Yaacob.
Bagaimanapun katanya gangguan bekalan air di Kuala Lumpur dan beberapa negeri lain lagi teruk sehingga menyukarkan kehidupan harian rakyat berbanding apa yang berlaku di Kelantan.
“Masalah air di Kuala Lumpur berat lagi di mana penduduk tinggal di rumah flat. Cuba bayangkan mereka terpaksa mengangkut dari bawah sehingga ke tingkat atas.
“Ambo nak beritahu kalau masalah air nak tukar kerajaan negeri gak mung gong pah (tolol) sehingga ke buku lali, orang PAS jawab tidak lepas kena ambo tolong jawab,” katanya pada program Umno Hijrah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Salor hari ini.
Hadir sama Yang Dipertua PAS Kubang Kerian Ustaz Abdul Rahman Yunus; Pengerusi Muafakat Nasional Kelantan Dato Tarmizi Musa dan calon DUN Salor Saizol Ismail.
Pada majlis itu kira-kira 200 penyokong Umno dalam Dun Salor menyerahkan borang keahlian PAS kepada Annuar dan Abdul Rahman.
Annuar yang juga bekas Setiausaha Agung Umno mengakui apa yang dilakukan BN sebelum ini menyebabkan Kelantan terus tertinggal daripada arus pembangunan.
Kata beliau juga hubungan parti berteras Melayu iaitu PAS dan Umno memasuki fasa baharu sebelum ini apabila bersama-sama menandatangani Piagam Muafakat Nasional.
Bagaimanapun beliau berkata, hubungan untuk memperkukuhkan sokongan Islam dan Melayu dikhianati Presiden Umno, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi demi menyelamatkan kepentingan peribadinya.
“Tidak payah ulang buku itu, kita tutup dah waktu kita buat Muafakat Nasional, kita sudah bermaaf-maafan, kita terima hakikat Tuhan jatuh kifarat atas Umno.
“Tidak hina kita mengakui kita salah, balik semula kepada al Quran wujud perpaduan umat Islam, buku lama tidak payah buka, pandang ke hadapan satukan Islam dan Melayu,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/8/2023











