
PASIR MAS: Seramai 11,205 pengundi awal yang berdaftar di Kelantan menjalankan tanggungjawab mereka memilih pemimpin hari ini.
Pecahan keseluruhan jumlah pemilih awal iaitu 6,175 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), 4,311 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 719 kakitangan Pasukan Gerakan Am.
Graf pengundi keluar mengundi awal di Kelantan sehingga pukul 11 pagi ini menunjukkan skala 63 peratus.
Sehubungan itu anggota Exco Kerajaan Negeri Dato’ Mohd Nassuruddin Daud mengucapkan selamat menjalankan tanggungjawab kepada pengundi awal termasuk pasangan mereka.
“Kita ucapkan tahniah dan terima kasih kepada anggota keselamatan di Kelantan khasnya kerana cakna tentang kepentingan mengundi,” katanya di sini.
Beliau ditemui bersama isteri Datin Wan Nor Hanita Wan Yaacob ketika menyantuni pengunjung dan penjual di Pasar Pagi Meranti, hari ini.
Pada jam 9 pagi menurut laporan SPR, pengundi awal di Kelantan mendahului peratusan yang keluar mengundi sebanyak 23 peratus. Disusuli pengundi awal di Kedah sebanyak 22 peratus.
Jam 12 tengahari Kelantan kekal di tangga teratas dengan 77 peratus diikuti Terengganu dan Negeri Sembilan berjumlah 75 peratus. Manakala Kedah pula mencatat 74 peratus.
Mohd Nassuruddin yang juga Ketua Penerangan PAS Kelantan berkata, undi anggota pasukan keselamatan juga akan menjadi penentu masa depan kita.
Di DUN Meranti terdapat sersamai 36 warga PDRM dari Balai Polis Meranti, Bakong dan Kampung Siram berserta pasangan terlibat sebagai pengundi awal. – HARAKAHDAILY 8/8/2023











