Latihan tentera Belarus tingkat ketegangan sempadan

Tentera Poland di pagar yang memisahkan negara itu dan Belarus.
- Advertisement -

TALLINN: Belarus memulakan latihan ketenteraan berhampiran sempadan negara itu dengan Poland dan Lithuania, meningkatkan ketegangan dengan dua anggota NATO berikutan kehadiran tentera upahan Wagner yang berpindah ke Belarus selepas pemberontakan singkat di Rusia.

Poland dan Lithuania meningkatkan keselamatan kawasan sempadan sejak beribu-ribu pejuang Wagner tiba di Belarus, sekutu Rusia melalui perjanjian yang menamatkan pemberontakan bersenjata mereka, akhir Jun lalu dan turut membolehkan ketua pejuang, Yevgeny Prigozhin, mengelakkan tuduhan jenayah.

- Advertisement -

Pemimpin dua negara NATO berkenaan berkata, mereka bersedia menghadapi provokasi dari Moscow dan Minsk di kawasan sensitif, iaitu kawasan sempadan kedua-dua negara dengan Belarus serta wilayah kecil Rusia Kaliningrad.

Awal bulan ini, dua helikopter Belarus terbang untuk jangka masa singkat pada ketinggian rendah ke ruang udara Poland. Pihak berkuasa Belarus menafikan helikopter mereka memasuki Poland.

Kementerian Pertahanan Belarus berkata, latihan yang bermula semalam adalah berdasarkan pengalaman “operasi ketenteraan khas” – istilah yang digunakan Rusia untuk perang di Ukraine. Latihan termasuk penggunaan dron, unit kereta kebal dan senapang bermotor dengan cabang lain angkatan tentera.

Latihan perang dijalankan di wilayah Grodno, Belarus, berhampiran Jurang Suwalki – kawasan kurang penduduk sepanjang 96 kilometer sempadan Poland-Lithuania. Ia menghubungkan tiga negara Baltik, iaitu Lithuania, Latvia dan Estonia dengan seluruh perikatan NATO dan memisahkan Belarus dari Kaliningrad, sebuah wilayah kecil Rusia di Laut Baltik yang tidak mempunyai hubungan darat dengan Rusia.

Penganalisis tentera Barat telah lama melihat Jurang Suwalki sebagai kawasan titik kilat yang berpotensi dalam sebarang konfrontasi antara Rusia dan NATO. Mereka bimbang Rusia mungkin cuba menguasai jurang itu dan memotong tiga negara Baltik dari Poland dan negara NATO lain.

Tentera Belarus secara aktif menggunakan tentera upahan Rusia untuk melatih tentera negara itu dan latihan itu bermula apabila lebih ramai pejuang Wagner dilaporkan tiba di negara itu. Menurut Belaruski Hajun, kumpulan aktivis yang menjejaki pergerakan tentera di Belarus, tentera upahan tiba dalam kumpulan kecil setiap hari.

Grey Zone, blog berkaitan Wagner di aplikasi pemesejan Telegram, melaporkan bahawa kira-kira 7,000 pejuang Wagner berada di kem berhampiran Asipovichy, sebuah bandar 230 kilometer di utara sempadan Ukraine. – AP

- Advertisement -