
KUALA TERENGGANU: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan jentera pilihan raya PERIKATAN NASIONAL (PN) supaya bersedia menghadapi fitnah terhadap pemimpin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Menurutnya, pada kelaziman di waktu akhir-akhir kempen, pihak lawan akan menyebarkan berbagai fitnah terhadap pemimpin PAS dan PN.
Ini, katanya kerana mereka tidak berupaya menghadapi kempen yang dijalankan oleh PN sehingga bertindak sedemikian tanpa memikirkan dosa dan pahala.
Begitu juga, ujarnya apabila seseorang dicalonkan untuk bertanding dalam pilihan raya, maka berbagai surat berkaitan dengannya akan tersebar.
“Calon-calon ini biasa. Bila naik sahaja nama, macam-macam surat, saya sendiri terima macam-macam surat, calon ni, begini, calon ni, begini,” ujarnya ketika menyampaikan taujihat pilihan raya kepada para petugas Dun Wakaf Mempelam di markas tarbiah Dun itu, hari ini. (Foto atas)
Turut hadir ialah calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim, calon PRN bagi Dun Wakaf Mempelam, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah dan Mas’ul PAS kawasan, Dato’ Mohd Abdul Wahid Endut.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menjelaskan, fitnah datang dalam tiga bentuk.
“Kalau calon lelaki, fitnah dengan wanta, ada skandal itu dan ini. Yang kedua, latar belakang tak begitu baik, hutang tak bayar, janji tak tunai,macam-macam,” ujarnya.
Tambahnya, fitnah yang ketiga pula pihak musuh akan bersama dalam jamaah untuk menghasut secara dalaman.
“Yang ketiga, musuh ni kalua dia tak boleh serang, dia tak boleh pecahkan kita, maka dia join kita, dia hasut cara dalaman.
“Oleh itu sering kali diingatkan oleh pimpinan terutama presiden jangan kita bawa suara musuh dalam jamaah,” katanya.
Menurutnya, pihak musuh akan bawa sesuatu yang meragukan dalam kalangan ahli dalam jamaah.
“Kalau dalam media sosial alkhir-akhir ini tiada batas, tiada halal haram, dah fitnah macam-macam,” ujar beliau selanjutnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru jentera parti supaya meneruskan persiapan yang telah dibuat sepanjang tempoh menghadapi PRN kali ini.
“Oleh itu bagi kita persiapan ini kita teruskan, mudah-mudahan Allah perkukuhkan kita, kita lihat gelombang kebangkitan ini jauh lebih besar pilihan raya ke-15 lalu,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 7/8/2023




















