
KOTA BHARU: Pengalaman sebagai bekas Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) memberi kelebihan kepada calon PERIKATAN NASIONAL (PN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama.
Dato’ Sr Zamri Ismail berkata, antara tahun 2011 sehingga 2018 beliau bertugas di MPKB-BRI sehingga berjaya membina Dataran Bandaraya yang berjaya memacu sosioekonomi penduduk.
Katanya, Dataran Bandaraya hasil usahanya ketika berkhidmat sebagai Yang Dipertua MPKB-BRI.
“Saya percaya kalau seluruh warga kota dapat bersama saya pada 12 Ogos ini banyak lagi tempat lain akan dibangunkan.
“Kewujudan dataran itu menyemarakan lagi industri pelancongan di Kelantan. Ia satu sumbangan penting kepada negeri,” katanya pada sidang media di Pusat Media PERIKATAN NASIONAL Pejabat PAS Kelantan hari ini.
Oleh itu kata beliau sekiranya diberi peluang mandat rakyat, lebih banyak lokasi di bandar Kota Bharu akan dipertingkatkan sebagai lokasi aktiviti perniagaan dan tempat rekreasi.
Menurutnya juga ketika berkhidmat di MPKB-BRI perkara utama diberikan penekanan termasuk tambah baik laluan di kawasan bandar Kota Bharu.
“Ini tugas yang cukup besar untuk jadikan bandar Kota Bharu senang dikunjungi dan selesa nikmati. Ini perkara yang akan saya beri perhatian,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/8/2023




















