
SEREMBAN: PERIKATAN NASIONAL Negeri Sembilan menawarkan ‘Kad Nismilan Prihatin’ bagi menangani peningkatan kos sara hidup sekiranya diberi peluang mentadbir negeri ini selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.
Perkara ini dinyatakan pengerusinya, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu semasa membentangkan manifesto ‘Tawaran Perikatan Nasional Negeri Sembilan’ secara dalam talian hari ini.
Menurut Faizal, kad ini akan digunakan rakyat negeri ini untuk pembelian barangan asas di kedai terpilih bagi mengurangkan kos sara hidup.
“Kami akan mewujudkan rangkaian ‘Gerai Nismilan Prihatin’ di setiap daerah bagi menyediakan bekalan makanan asas pada harga yang berpatutan.
“Kita juga akan menubuhkan ‘Jaringan Sosial Rakyat Nismilan Prihatin’, agensi sehenti tunggal atau single onestop agency di setiap daerah,” ujar beliau.
Jelasnya, agensi sehenti ini adalah bagi menyelaras program-program pembasmian kemiskinan, pemberian bantuan kebajikan, perlindungan kaunseling dan guaman.
Selain itu, tambah beliau, agensi ini juga akan memberi khidmat sokongan berkaitan dengan peluang-peluang kerjaya, peningkatan kemahiran dan pengukuhan kegiatan ekonomi sara diri terutama untuk anak muda dan wanita.
“Kami juga akan memperkenalkan ‘Inisiatif Bantuan Prihatin Peniaga Nismilan’ dengan peruntukan geran sebanyak RM4 juta setahun untuk penjaja dan para peniaga kecil.
“Selain itu kita akan menawarkan ‘Skim Agrobest Nismilan’ yang melibatkan pembangunan usahawan tani melalui latihan, pementoran dan pemantauan bagi penyertaan ke dalam sektor pertanian berteknologi tinggi.
“Termasuklah pembangunan hab pertanian yang menekankan kepada smart farming,” ujar Faizal yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional Pusat.
Tambah beliau, PERIKATAN NASIONAL Negeri Sembilan juga akan memperkenalkan ‘Skim Tanismilan’ dengan peruntukan sebanyak RM4 juta bagi menjamin bekalan makanan dan meningkatkan pendapatan kumpulan sasar.
“Termasuk melalui penambahan program ladang kontrak dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan dan pihak swasta,” ujarnya lagi.
Perkara ini terkandung di dalam Tonggak Pertama Memacu Daya Tahan Ekonomi Dan Menangani Kos Sara Hidup daripada lapan tonggak yang ada dalam tawaran ini.
Selain itu, tujuh lagi tonggak di dalam tawaran itu ialah Melestari Masa Depan Belia; Ketiga Merakyatkan Pendidikan; Keempat Memperkasa Wanita; Kelima Mempertingkatkan Kesejahteraan Sosial Warga Emas.
Tonggak keenam ‘Memperkukuhkan Jaringan Infrastruktur; Ketujuh Merancakkan Ekopelancongan Adat Dan Budaya dan tonggak kelapan Meningkatkan Kecekapan Tadbir Urus. – HARAKAHDAILY 5/8/2023




















