
KUALA KEDAH: Hasrat rakyat untuk mempunyai jalan mini tar di sekitar kampung dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Anak Bukit akhirnya terlaksana.
Ini selepas pelbagai usaha dijalankan oleh Rashidi Razak yang ketika itu diberi amanah sebagai Penyelaras DUN tersebut.
Rashidi yang lebih mesra disapa Encik Shidi atau Abang Shidi dalam kalangan penduduk kampung sememangnya sudah dikenali rakyat kerana sikapnya yang mudah membantu.
“Sebelum diberi mandat sebagai calon di N15 Anak Bukit, saya diberi amanah sebagai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Anak Bukit selama tiga tahun bermula Oktober 2020 sehingga Dun dibubar.
“Kita tumpu kepada kebajikan dan perkhidmatan prasarana khasnya kepada masyarakat setempat, antaranya perkhidmatan jalan mini tar di kampung-kampung.
“Salah satunya ialah di Kampung Hutan Serdang, ketika saya menemui mereka dalam satu perjumpaan, mereka beritahu saya, kami Encik Shidi telah melalui enam Menteri Besar dah, tetapi jalan macam ini saja tiada tar,” katanya
Menurutnya lagi, sejurus perjumpaan itu beliau berazam untuk membawa perkara tersebut ke peringkat atasan bagi menunaikan hasrat penduduk kampung.
Tambahnya, penduduk kampung berkata: “Tolonglah kalau boleh Encik Shidi buat pada kami jalan tar ini, kami nak buat kenduri sembelih kambing dua ekor”.
“Selepas dari itu saya berazam supaya jalan mini tar ini diadakan, saya berusaha membawa perkara ini kepada agensi kerajaan yang terlibat sehingga akhirnya terlaksana jalan mini tar di kampung tersebut dan beberapa kampung yang lain.
“Alhamdulillah selepas dari itu, mereka mengadakan kenduri dan salah satunya di Kampung Permatang Kenang, mereka buat kenduri dan jemput Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor bersama,” ujarnya lagi.
Selain itu, katanya edaran Beras Sejahtera kepada masyarakat kampung yang tidak berkemampuan turut diadakan.
Katanya, setiap peruntukan diberikan sama rata tanpa mengira parti dan bangsa.
“Begitu juga bantuan awal kemasukan pelajar ke institut pengajian tinggi (IPT), semua kita bagi tanpa mengira warna bendera dan kulit,” jelasnya lagi. – HARAKAHDAILY 4/8/2023











