
GEMENCHEH: Assabiqun PAS Negeri Sembilan, Yahya Hussin terharu menerima kunjungan Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin di rumahnya di FELDA Bukit Rokan Utara di sini, hari ini.
Beliau yang aktif sejak 1987 hingga 2000 dengan jawatan terakhir sebagai Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Tampin kini berada dalam keadaan uzur setelah dua kali diserang strok.
“Saya cakap pada kawan-kawan, buatlah apa yang patut. Saya rasa tak terdaya lagi dah, jalan pun menggigil,” katanya.
Beliau yang tinggal bersama isteri dan dua anaknya turut mendedahkan peristiwa baru-baru ini, apabila dikunjungi oleh anak seorang mantan pemimpin tertinggi PAS yang kini pemimpin Amanah.
“Dia peluk-peluk saya. Tapi saya cakap pada dia tak payah tarbiah saya. Saya orang PAS,” katanya tegas.
Beliau turut menitipkan seruan kepada ahli PAS dan PERIKATAN NASIONAL (PN) agar sama-sama bekerja kuat untuk kemenangan calon PN di DUN Gemencheh untuk meletakkan seorang wakil rakyat yang dapat membela rakyat.
“Insya-Allah saya berdoa untuk kemenangan parti kita yang akan ditandingi oleh Ustaz Tengku Abdullah Tengku Rakman, seorang ahli PAS yang berdedikasi, bekerja kuat dan ada pusat tahfiznya di Gemencheh.
“Saya berharap kepada sahabat, ingat bahawa menang kalah kerja Allah SWT, tetapi kita hanya berusaha. Kemenangan insya-Allah akan sampai jika kita bekerja dengan ikhlas dan sempurna,” ujarnya.
Terdahulu Bakri yang hadir bagi membantu jentera PN Negeri Sembilan melawat Bilik Gerakan DUN Gemencheh bagi meninjau perjalanan kempen DUN tersebut. – HARAKAHDAILY 2/8/2023











