Kebebasan berpolitik lahirkan mahasiswa holistik

- Advertisement -

ARAU: Mahasiswa Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menyambut baik langkah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi kebebasan kepada mahasiswa untuk berpolitik di luar kampus.

Naib Yang Dipertua 1 Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniMAP, Siti Aisyah Jaini berkata, ini berikutan mahasiswa memiliki hak dan kebebasan untuk terlibat dalam kegiatan politik sesuai dengan agenda KPT yang ke-11, iaitu pembentukan ke arah pemerkasaan mahasiswa yang meliputi kebebasan dalam kampus dan luar kampus.

- Advertisement -

Katanya, mahasiswa adalah sebahagian masyarakat dan sebagai warga negara, memiliki hak yang sama seperti warga negara lain untuk menyampaikan pandangan, terlibat dalam proses politik dan mendukung pihak atau isu tertentu tanpa rasa takut atau diskriminasi.

“Keterlibatan mahasiswa dalam perkara ini dapat menjadi sarana penting untuk mengembangkan pemahaman tentang isu-isu sosial dan politik yang lebih luas, serta menjadi agen perubahan positif di dalam masyarakat,” katanya mengulas kebenaran penglibatan mahasiswa dalam politik sepanjang musim Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu.

Siti Aisyah yakin dengan kebebasan yang diberikan oleh KPT, pemerkasaan mahasiswa dapat dilaksanakan dengan baik serta melahirkan mahasiswa holistik yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi mampu berfikir ke hadapan dalam mencetus pembangunan negara.

“Namun, mahasiswa diharapkan dapat berpolitik dengan sifat tanggungjawab, tanpa mengabaikan tugas dan tanggungjawab mereka sebagai mahasiswa di lingkungan akademik, serta mengekalkan prinsip moral, menghormati pendapat orang lain, dan mengelak daripada melakukan perkara yang boleh menyebabkan konflik atau kekerasan,” katanya.

Ahmad Akif Syakirin Mohd Adnan

Sementara itu, mantan Yang Dipertua MPP UniMAP, Ahmad Akif Syakirin Mohd Adnan berkata, Pindaan AUKU 1971 Seksyen 15 (2) (c) menamatkan halangan sebelum ini untuk mahasiswa terbabit dalam aktiviti politik.

“Ini membolehkan mahasiswa bebas berpolitik di dalam atau luar kampus, sekali gus memberi lebih banyak ruang dan kebebasan dalam bersuara dan berpolitik.

“Keputusan KPT tidak menyekat mahasiswa berpolitik merupakan program literasi politik yang secara tidak langsung membolehkan mahasiswa mempelajari sedikit sebanyak politik negara,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniMAP, Prof Dr Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah berkata UniMAP juga menyambut baik tindakan KPT, namun mengharapkan mahasiswa universiti dapat menggunakan peluang yang diberikan dengan bijaksana.

“Mahasiswa perlu menggunakan kebebasan dengan matang yang saya percaya mampu menyumbang kepada pembangunan negara dan universiti jika keterlibatan itu mengikut tatakelola yang jelas sebagai seorang mahasiswa yang bijaksana.

“Ini mampu melonjakkan peranan mahasiswa dalam pembangunan sesebuah negara yang sedang membangun,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 2/8/2023

- Advertisement -