
KUALA KEDAH: Dakwaan bahawa ekonomi Selangor dan Pulau Pinang akan merosot jika kedua-dua negeri dikuasai PERIKATAN NASIONAL (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini adalah hujah tidak masuk akal.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, banyak negara maju di dunia yang tidak ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH).
Katanya, tidak munasabah perkembangan ekonomi sesebuah negeri atau negara dilihat berdasarkan parti.
“Banyak negara maju tiada pun PH. Isu ekonomi bukan berkaitan parti. Ada negeri maju, tetapi PH tak ada. Ada negeri mundur, PN pun tak ada situ
“Analisis ekonomi terbabit tidak berpijak di alam nyata,” katanya ketika ditemui pada Program Sembang Santai di Taman Putra di sini, petang semalam.
Muhammad Sanusi berkata, orang kurang sihat sahaja bercakap seperti itu kerana tiada bersangkut paut dengan parti, selain bukan kerja seorang dua tokoh politik untuk membangunkan ekonomi.
“Ia turut melibatkan jabatan serta agensi kerajaan, syarikat swasta, pelaburan dan macam-macam lagi,” katanya.
Sementara itu ditanya mengenai ahli PAS yang bertanding sebagai calon Bebas di dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkawi, katanya individu terbabit telah dipecat sebagai ahli parti.
“Dah pecat daripada PAS, nak buat apa lagi. Masih awal untuk membuat andaian dengan adanya calon bebas, bekas ahli PAS akan memberi peluang DUN Ayer Hangat dan Kuah dimenangi PH,” ujarnya.
Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS berkata, situasi demikian bukan hanya melibatkan ahli PAS, sebaliknya turut berlaku membabitkan ahli parti lain.
Oleh itu, katanya ahli PAS di DUN berkenaan perlu memilih PN pada 12 Ogos ini kerana ia merupakan kesepakatan tiga parti gabungan. – HARAKAHDAILY 2/8/2023











