
KOTA BHARU: Setiap negeri atau wilayah perlu mendapat perhatian kerajaan Pusat seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, sesebuah negara tidak akan dianggap sebagai maju jika ada negeri di bawah pentadbiran negara masih tersisih.
Katanya, negeri mempunyai hak yang perlu dilaksanakan kepada Pusat dan begitu juga sebaliknya.
“Kerajaan Pusat bertanggungjawab menjaga kebajikan semua 14 negeri di Malaysia, termasuk Kelantan tanpa mengira fahaman politik.
“Bidang kuasa dan tanggungjawab itu perlu dilaksanakan oleh kerajaan negeri dan Pusat,” katanya dalam program Diskusi 45 Minit yang berlangsung secara dalam talian melalui Facebook KelantanTV, hari ini.
Dr Mohamed Fadzli berkata, sebagai contoh penyediaan kemudahan infrastruktur asas termasuk sekolah, universiti, jalan raya, lebuh raya dan hospital adalah tanggungjawab kerajaan Pusat.
Katanya, tanggungjawab kerajaan negeri pula menyediakan tanah untuk melaksanakan projek berkenaan.
Sepanjang tempoh 33 bulan ketika negara ditadbir oleh kerajaan PERIKATAN NASIONAL (PN), katanya Kelantan mendapat banyak peruntukan berbanding era sebelum ini.
Ketika itu, katanya tujuh Ahli Parlimen dari Kelantan dilantik menjadi menteri dan timbalan menteri. – HARAKAHDAILY 30/7/2023











