Elak guna dron tanpa kelulusan ketika PRN

- Advertisement -

KOTA BHARU: Petugas pilihan raya PAS dan PERIKATAN NASIONAL (PN) diingatkan berkempen mengikut lunas demokrasi dan tidak melakukan sesuatu yang melanggar undang-undang.

Timbalan Ketua Penerangan PAS Kelantan, Ahmad Fathan Mahmood berkata, pematuhan itu penting bagi mengelak kejadian yang tidak diingini sepanjang tempoh berkempen sekarang

- Advertisement -

Katanya, pihak berkuasa keselamatan menetapkan garis panduan yang mesti dipatuhi setiap petugas termasuk menerbangkan dron, terutama di tempat awam tanpa kelulusan.

“Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengingatkan orang ramai tidak menerbangkan dron tanpa kelulusan di kawasan tumpuan ramai sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Jadi petugas kita hendaklah mematuhi arahan dan larangan itu,” katanya di sini, hari ini.

Semalam, dua lelaki ditahan kerana disyaki menerbangkan dron berhampiran Pusat Penamaan Calon (PPC).

Ketua Polis Kelantan, Dato’ Muhamad Zaki Harun berkata, kes pertama berlaku di PPC Kolej Vokasional Pasir Mas, Bunut Susu pada jam 9.45 pagi, membabitkan suspek berusia 55 tahun yang diarahkan menurunkan dron tersebut.

“Polis merampas satu unit dron DJI Mini 3 Pro dan satu alat kawalan jauh. Suspek ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Muhamad Zaki berkata, kes kedua di PPC Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu, Pengkalan Chepa pada jam 10.03 pagi.

“Ketika kejadian seorang remaja lelaki berusia 14 tahun dikesan sedang menerbangkan dron di kawasan kejadian. Polis mengarahkan supaya dron itu diturunkan sebelum dirampas bersama seunit telefon bimbit iPhone 7 Plus,” ujarnya.

Beliau berkata, suspek ditahan dan dibawa ke IPD Kota Bharu bagi tindakan lanjut dengan kedua-dua kes tersebut dirujuk kepada CAAM. – HARAKAHDAILY 30/7/2023

- Advertisement -