
KOTA BHARU: PAS tidak akan berkompromi dan mengambil tindakan tegas terhadap ahli yang didapati menyokong parti lain pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS tidak akan teragak-agak untuk menggantung keahlian atau memecat individu yang didapati melanggar disiplin.
“Mana-mana ahli yang menentang calon yang diumumkan, parti tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan disiplin sama ada memecat atau menggantung keahlian mereka.
“Kita tidak akan berkompromi dalam beberapa tindakan yang boleh meruntuhkan ummah yang kita bina.
“Jadi mana-mana pihak jangan jadi penghalang,” katanya pada majlis Pengumuman Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) Kelantan di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV di sini, malam tadi.
Tuan Ibrahim turut meminta semua pihak supaya bersatu padu dan berpakat untuk membina kekuatan ummah.
Menurutnya, semua pihak perlu ada saham bagi mempertahankan kerajaan negeri yang ada sekarang.
Beliau juga berkata, gelombang kebangkitan rakyat berlaku di semua tempat termasuk enam negeri yang terbabit dengan PRN 12 Ogos ini. – HARAKAHDAILY 28/7/2023











