Selesaikan dahulu fitnah lama, hentikan fitnah baharu

Peringatan kepada Rafizi Ramli

- Advertisement -

SEBENARNYA lebih baik Rafizi Ramli selaku Menteri Hal Ehwal Ekonomi Kerajaan Campuran PH-BN selesaikan dahulu fitnah yang lama sebelum menjaja cerita baru. 

Seluruh rakyat Malaysia masih ingat bagaimana beliau mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man yang ketika itu menjawat jawatan Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 yang lalu. 

Dato’ Tuan dituduh menganugerahkan projek tebatan banjir bernilai RM2 bilion secara rundingan terus kepada syarikat yang ada kaitan dengan Umno. 

Malah, Rafizi juga menuduh bahawa kelulusan tersebut berlaku selepas pembubaran Parlimen sebagai timbal balas perolehan dana Pilihan Raya. 

Tuduhan itu diuar-uarkan sehingga menjatuhkan maruah seorang pemimpin yang begitu dihormati dalam masyarakat. 

Malangnya, ia dilakukan secara teratur bagi menarik keluar sokongan daripada PAS atau PERIKATAN NASIONAL ketika PRU semakin hampir. 

Apa yang Rafizi barangkali terlupa adalah zaman ini bukan lagi zaman rakyat tertutup dengan maklumat. 

Era maklumat kini berada di hujung jari. Segala-galanya boleh dinilai dengan kaca mata yang jernih.

Dato’ Tuan terbukti bukan sahaja tidak terlibat dalam tuduhan rambang Rafizi, bahkan Menteri KASA ketika itu tidak pernah terlibat dalam mana-mana penganugerahan tender, tidak terhad kepada projek tender banjir yang dimaksudkan Rafizi.

Itulah bukti kukuh PERIKATAN NASIONAL sebuah parti yang bersih dan sangat transparen dalam pentadbirannya. 

Bukannya melantik anak sendiri untuk menguruskan tender projek kerajaan yang kemudiannya ditarik balik selepas mendapat cemuhan ramai pihak. 

Akhirnya pada Januari 2023 yang lalu, Rafizi ‘menjemput’ Dato’ Tuan untuk memberikan penjelasan berhubung dakwaannya. 

Nadanya berubah 180 darjah. Daripada satu tuduhan kepada ‘mahukan penjelasan’. 

Fitnah Rafizi memakan diri sendiri. Gelombang anak muda sendiri bangkit tunjukkan signal mereka menolak politik fitnah. 

Rafizi masih belum mengerti bahawa politik fitnah mereka tidak lagi berkesan. Bahkan ia menambah gelombang sokongan tanpa henti buat YAB Sanusi. 

Sebab itu saya berani katakan, apa jua bicara mereka mendekati hari pengundian, elok ditulikan sahaja. Rakyat kini semakin cerdik untuk menilai yang mana kaca seperti Rafizi yang mana permata seperti YAB Sanusi. 

Nasihat saya kepada Rafizi, selesaikan dahulu fitnah lama yang tertangguh, sebelum mereka-reka fitnah baharu.

DATO’ USTAZ AHMAD YAHAYA
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah – HARAKAHDAILY 26/7/2023

- Advertisement -
- Advertisement -