
KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin melahirkan rasa amat sedih dengan berita pemergian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, malam tadi.
“Bukan sekadar kami berdua sahaja bahkan keluarga kami dan keluarga allahyarham memang rapat sejak sekian lama,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau, malam tadi.
Menurutnya, Allahyarham selalu menghantar WhatsApp ucapan-ucapan perayaan.
Katanya, perbezaan wadah perjuangan dan perbezaan pendapat dalam politik tidak memutuskan persahabatan antara mereka.
Tambahnya, jasa serta sumbangan allahyarham dalam PAS akan sentiasa dikenang terutamanya PAS negeri.
“Pemergian ini pastinya menjadi satu kehilangan besar buat negara,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mewakili PAS negeri mengucapkan salam takziah buat seluruh keluarga allahyarham.
“Semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang yang beriman dan beramal soleh serta dicucuri rahmat ke atasnya,” katanya lagi.
Beliau juga mengimbau sewaktu isterinya, Ustazah Habibah Hussin meninggal dunia, allahyarham antara orang yang hadir menziarahi arwah.
“Semoga Allah memberikan ketabahan dan kemudahan buat seluruh keluarga Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 24/7/2023











