Sanusi seru ibu bapa bina kapasiti diri anak-anak

- Advertisement -

BALING: Ibu bapa perlu berperanan melakukan pembinaan kapasiti anak-anak di mana ianya adalah proses yang boleh dibentuk dan bukan terjadi dengan sendiri, demikian nasihat Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Bercerita panjang pengalamannya terlibat di arena sukan, persatuan dan kepimpinan, kata Sanusi, bakat dan kelebihan anak-anak apabila disalurkan ke tempat yang betul akan melahirkan mereka sebagai bintang.

Beliau juga menasihati para ibu bapa yang mempunyai anak di asrama sekolah agar melawat ziarah mereka sekiranya mempunyai ruang waktu kerana ketika itu mereka berada dalam persaingan.

Jelasnya, persaingan yang wujud adakalanya membuatkan mereka merasa tewas secara psikologi di mana ini menyebabkan gangguan kepada emosi dan tumbesaran anak-anak tersebut.

Sanusi turut berkongsi kehidupannya ketika zaman persekolahan dan tinggal di asrama di mana beliau berjuang dalam pelajaran dalam keadaan kecamuk serba kekurangan dan tidak ada.

“Ni bukan saya nak kata mak ayah saya tak melawat. Saya tahu ayah saya tak boleh gi. Mak saya pun tak boleh gi. Sepanjang saya duk Mat Jiwa (Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jiwa, Sungai Petani), ayah saya gi hantar sekali, gi ambil sekali. 

“Mak saya gi tiga kali. Nak mari Sungai Petani pun tiga teksi kena naik. Tiga kali tukar. Saya tak menyalahkan itu tapi untuk pedoman ke depan anak-anak yang di asrama ini kena diperhatikan selalu. Di lingkungan yang didiami oleh anak-anak kita itu ada siapa,” ujarnya.

Juga diperingatnya agar ibu bapa tidak melebihkan anak-anak yang berada di asrama itu kerana kemungkinan dia mempunyai rakan serba kekurangan di mana boleh menimbulkan terasa diri, iri hati atau terpencil dan lemah. – HARAKAHDAILY 24/7/2023

- Advertisement -
- Advertisement -