Kejohanan sukan cungkil bakat pelajar PASTI

- Advertisement -

ARAU: Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) bukan sahaja menerapkan pembelajaran agama kepada pelajar, malah bakat mereka dalam sukan dicungkil menerusi acara tahunan kejohanan bola sepak dan bola jaring.

Justeru itu, kejohanan tersebut diadakan bermula di peringkat kawasan hingga mewakili negeri ke peringkat kebangsaan.

- Advertisement -

PASTI Kawasan Padang Besar mengadakan kejohanan itu pada 16 Julai lepas, manakala PASTI Kawasan Kangar pada Sabtu lalu di D’Futsal Batu Dua, Kangar.

Sementara itu, PASTI Kawasan Arau mengadakan aktiviti itu di tempat yang sama, semalam.

Pengerusi PASTI Kawasan Arau, Abd Hadi Halipah berkata, johan di peringkat kawasan akan berentap di peringkat negeri pada 19 Ogos depan.

“Insya-Allah, anak-anak PASTI yang menjadi johan di peringkat kawasan akan mencuba nasib di peringkat negeri pula.

“Seterusnya johan di peringkat negeri akan dibawa ke Kejohanan Sukan PASTI Peringkat Kebangsaan pada 15 hingga 16 September di Terengganu,” katanya.

Program dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Sanji, Ustaz Mohd Ridzuan Hashim.

Turut hadir Yang Dipertua PAS Kawasan Arau, Solahudin Azmi; ADUN Kayang, Ustaz Asrul Aimran Abd Jalil; ADUN Beseri, Haziq Asyraf Dun dan ADUN Mata Ayer, Wan Badariah Wan Saad. – HARAKAHDAILY 24/7/2023

- Advertisement -