
SIK: Kerajaan Negeri Kedah menjadi sasaran serangan Kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) pada ketika ini adalah kerana dicemburui pencapaian yang sedang giat dilaksanakan.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, walaupun media kurang melaporkannya, tetapi perkara itu meluas di aplikasi TikTok hinggakan akaun beliau telah disekat baru-baru ini.
Membentangkan perkara itu katanya, pencapaian Kedah paling besar adalah hampir-hampir menyempurnakan proses pembaikan infrastruktur perbekalan air walaupun memiliki keupayaan yang terhad.
Kedah maklum beliau, menerima geran dan pinjaman di bawah Kerajaan Perikatan Nasional (PN) iaitu sewaktu Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA).
“PH-BN ni kalau boleh bab paling besar ni dia nak claim ambil (mengaku dilaksanakan) kat dia. Dia nak dapat kat dia. Maka kalau kita tidak menang PRN, dia (PH-BN) jadi kerajaan, projek itu siap zaman dia, dia kata dia. Itu saja perangai,” ujarnya.
Kedah katanya lagi, walaupun negeri miskin, tetapi untuk program agama diperuntukkan ratusan juta ringgit, manakala kebajikan puluhan juta ringgit, bahkan untuk khairat kematian diberi RM500 menyamai Selangor negeri yang kaya.
Perinci Sanusi terhadap projek infrastruktur air, kos sebanyak RM931 juta telah digunakan antaranya membina empat loji rawatan air (LRA) dan program bersepadu menangani kehilangan air tidak berhasil (NRW).
Menurut beliau, usahasama Kedah dengan pihak swasta itu merupakan model yang tidak pernah dilaksanakan oleh mana-mana negeri lain di mana nanti akan mengatasi NRW sebanyak 48 peratus kepada 25 peratus.
Begitu juga ceritanya, rancangan penanaman padi lima kali dua tahun telah dimulakannya bersama Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman selaku Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sesi lalu.
Maklum beliau, Tarmizi yang juga sepupunya itu telah mendapatkan benih cepat matang iaitu dalam hanya 50 hari dari Indonesia di mana membolehkan rancangan penanaman tersebut menjadi kenyataan.
Namun kata beliau, ada individu yang baharu datang ke agensi tersebut mengaku dirinya yang menggagaskan usaha tersebut ketika mana proses penanaman tersebut telahpun mulai mengambil hasil.
Kedah juga maklum Sanusi, menerima perakuan dari pelbagai agensi termasuk dalam pengurusan kewangannya yang mendapat status kukuh dan mempunyai rizab simpanan sebanyak RM600 juta iaitu pertama kali dalam sejarahnya.
Selain itu terangnya, lapan projek ekonomi berimpak tinggi sedang giat diusahakan termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) di mana bakal melonjakkan Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK) Kedah sebanyak 4.5 peratus lagi.
“Kenapa di Wilayah Utara ada program ‘The Greater Penang’ tapi negeri lain tak boleh buat? ‘The Greater Penang’ itu maksudnya semua negeri di Utara akan menjadi feeder (penyumbang) kepada Pulau Pinang untuk dia membangun.
“Dia jadi ‘The Greater Penang’ sebab tu saya persoal. Pasal apa Penang? ‘The Greater Penang’ itu dia punya program wilayah untuk menjadikan Pulau Pinang itu negeri terbaik di Utara,” jelasnya.
Katanya, wilayah ‘The Greater Penang’ itu melingkungi hingga ke Yan dan mereka itu semakin melampau-lampau hingga menggesa Kedah menjaga Ulu Muda bagi kepentingan Pulau Pinang.
Pulau Pinang ujarnya, menyedari air mentah negeri itu datangnya dari Ulu Muda dan memberi peringatan untuk ia tidak disentuh kerana bimbang air tercemar atau tidak mencukupi.
Sedangkan tegas Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Ulu Muda itu berada dalam negeri ini dan menjadi hak Kedah untuk melakukan apa sahaja tanpa perlu Pulau Pinang sibuk mengganggunya.
Beliau turut menjelaskan betapa pembangunan KXP akan membawa semua kekayaan daripada Pantai Barat Kedah masuk sebagai limpahan ekonomi ke wilayah Tengah dan Timur Kedah di mana ramai penduduk Melayu di situ.
“Wilayah (sebelah) Barat (iaitu) tepi pantai (dan) sebelah Penang tu bercampur (kependudukannya). Tempat-tempat strategik telah dikuasai begitu lama. Maka kekayaan yang ada di sana mesti ditolak masuk ke (wilayah) Tengah (Kedah). Untuk membawa kekayaan tu ke (wilayah) Timur (Kedah).
“Ke kawasan orang Melayu duduk di Kedah ni. Pasal tu depa marah depa kata 3R tak boleh cakap. Tak cakap nak habaq lagu mana? Ni strategi ni nak habaq lagu mana 3R tak boleh cakap. Marah KXP tak boleh tak mahu jumpa, dia kata sombong-sombong.
“Tunggu sat, kamu tunggu kalau kamu tak mahu tunggu lama aku cemuh aku bawa turun mu pula cemuhlah, ni macam-macam dah kita buat,” ujarnya dipercayai ditujukan kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim. – HARAKAHDAILY 21/7/2023




















