Fernandes naik pangkat jadi kapten MU

- Advertisement -

Pemain tengah Portugal, Bruno Fernandes dinamakan sebagai kapten baharu Manchester United.

Pemain berusia 28 tahun itu menggantikan pemain pertahanan Harry Maguire, yang dilucutkan jawatan kapten pasukan oleh pengurus Erik ten Hag selepas pemain antarabangsa England itu gagal mendapat tempat dalam pasukan utama.

- Advertisement -

Fernandes yang menjaringkan 64 gol dan memberikan 54 bantuan dalam 185 perlawanan semua pertandingan, menjadi kapten tanpa kehadiran Maguire yang lebih banyak menghabiskan musim lalu di bangku simpanan atau cedera.

Media Britain melaporkan bahawa pemain pertahanan itu dikatakan akan meninggalkan kelab itu.

“Pemain tengah Portugal itu sebelum ini beberapa kali memakai lilitan kapten United dan Erik ten Hag mengesahkan bahawa Fernandes akan mengetuai pasukan secara tetap,” kata United dalam satu kenyataan.

“Sebagai kapten, Pemain Terbaik Tahunan Sir Matt Busby dua kali itu akan terus memacu standard tertinggi seluruh skuad ketika United berusaha mencapai kejayaan pada musim 2023-24 dan seterusnya.”

Namun, Fernandes dikritik kerana prestasi hambar ketika tewas 7-0 kepada musuh ketat, Liverpool pada Mac lalu.

Ketika kempen pramusim United, pasukan Old Trafford menewaskan pasukan Ligue 1, Olympique Lyonnais 1-0 pada Rabu lalu.

United akan berkunjung ke Amerika Syarikat dalam siri perlawanan persahabatan menentang Arsenal, Wrexham, Real Madrid dan Borussia Dortmund, sebelum kempen baharu bermula.

Selepas gagal melayakkan diri ke Liga Juara-Juara pada kempen 2021-22, United akan kembali beraksi musim depan . – REUTERS

- Advertisement -