Delegasi PAS erat silaturahmi bersama PKS Indonesia

- Advertisement -

BARU-baru ini saya mengetuai Delegasi Ahli Parlimen Parti Islam Se Malaysia (PAS) seramai lima (5) orang ke Bandung dan Jakarta, Indonesia. Kunjungan ini bertujuan untuk memperteguhkan hubungan silaturahim antara dua parti iaitu PAS dan Parti Keadilan Sejahtera (PKS). Kedua-dua parti ini mempunyai hala tuju dan misi perjuangan yang sama, iaitu bagi memenangkan perjuangan Islam melalui jalan demokrasi. Ini membolehkan Islam memerintah dan membawa kesejahteraan rakyat di dunia dan akhirat. Jalan demokrasi yang dipilih oleh kedua-dua parti ini menunjukkan kepada masyarakat dunia bahawa PAS dan PKS tidak anti-demokrasi dan memilih jalan damai. 

Pada pertemuan pertama di Bandung, saya bersama rombongan telah bertemu dengan Yang Terhormat Bapak Dr. Haru Suandharu, S.Si, M.Si, Ketua Dewan Pengurus Wilayah Parti Keadilan Sejahtera Jawa Barat, manakala kunjungan kami ke bangunan Majlis Permusyawaratan Rakyat Republik Indonesia (MPR) Jakarta disambut oleh Wakil Ketua MPR, Yang Terhormat Bapak Dr. H. Muhammad Hidayat Nur Wahid, MA. Kami bertukar-tukar pandangan mengenai keadaan masyarakat Muslim di kedua-dua negara dan juga berkongsi pengalaman dalam perjuangan menerusi jalan demokrasi, di mana saya berkongsi pengalaman PAS sebagai Kerajaan dan juga Pembangkang. PAS sentiasa menjunjung prinsip demokrasi negara dan menjadikan politik sebagai salah satu medium dakwah. Pemerintahan berasaskan politik Islam dapat menunjukkan keindahan Islam dalam kehidupan bermasyarakat. Kepelbagaian umat di Malaysia diterima sebagai sebahagian masyarakat tanpa mengenepikan hak-hak beragama bagi rakyat bukan-Islam. 

Pimpinan PKS yang ditemui sangat tertarik apabila mengetahui pengalaman 33 tahun PAS sebagai Kerajaan di Kelantan, yang sentiasa berlaku adil kepada semua masyarakat termasuk masyarakat bukan-Islam. Beliau berpendapat, pengalaman PAS sebagai Kerajaan di Kelantan ini dapat menafikan tanggapan dan ketakutan masyarakat bukan-Islam terhadap pemerintahan Islam sekali gus menepis kempen ‘Islamophobia’ yang dibawa oleh kelompok-kelompok anti-Islam. Ini secara tidak langsung dapat dijadikan model untuk meyakinkan masyarakat bukan-Islam di rantau ASEAN agar tidak terus takut dengan Islam. Di akhir kunjungan, PAS dan PKS sepakat agar hubungan sesama umat Islam di rantau ini perlu terus diperkukuh dan saling mendoakan agar kemenangan berpihak kepada Islam sama ada di Malaysia atau Indonesia dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pemilihan Umum (PEMILU) yang akan datang.

Turut bersama saya dalam pertemuan ini ialah YB Ustaz Muhammad Ismi Bin Taib, YB Dato Dr. Nik Zawawi, YB Ustaz Kamal Ashari, YB Ustaz Misbahul Munir Masduki dan YB Tuan Awang Solahuddin Hashim. Manakala delegasi PKS turut disertai oleh Ketua Fraksi PKS MPR Tiffatul Sembiring, Sekretaris Fraksi Johan Rosihan, Staf Khusus Wakil Ketua MPR Soenmanjaya, Anggota Komisi I DPR dan Wakil Ketua BKSAP DPR RI, balan Sukamta PhD, juga mantan Mentan Dr. Suswono. 

DATO’ SRI TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS – HARAKAHDAILY 21/7/2023

- Advertisement -
- Advertisement -