
HARI ini merupakan hari di mana kita sepatutnya berdoa kepada Allah S.W.T untuk selamatkan negara kita daripada segala bencana. Tapi sebagai Ketua Pembangkang, saya merasa amat terhimpit dengan apa yang telah berlaku terhadap sahabat saya, adinda saya YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang telah ditangkap pada jam pagi malam kelmarin dan telah pun didakwa di Mahkamah Seksyen Selayang.
Lebih menyedihkan lagi adalah apabila beliau ditangkap pada waktu beliau sepatutnya berehat. Kerana perlu ke mahkamah pada keesokan paginya. Apakah perlu polis menahan beliau pada jam 3 pagi? Saya merasakan ini tidak perlu kerana YAB Dato’ Seri Sanusi bukan sahaja sudah pun memberi kerjasama kepada polis, bahkan telah bersetuju untuk terus ke mahkamah keesokan harinya.
Yang saya rasa amat pelik sekali adalah kerana beliau sebagai Menteri Besar mempunyai seorang bodyguard yang juga datangnya daripada Polis Diraja Malaysia. Tidakkah sesuatu yang amat aneh sekali apabila polis sendiri mengatakan mereka tidak dapat menghubungi YAB Dato’ Seri Sanusi.
Ini adalah jawapan yang tidak masuk akal sama sekali kerana pihak polis mempunyai seorang yang diletakkan di sebelah Menteri Besar untuk menjadi bodyguard untuk menjaga keselamatan beliau. Boleh tanya terus kepada bodyguard di mana YAB Datuk Seri Sanusi mana bila-bila masa?
Saya merasakan ada tangan ghaib yang mengarahkan supaya Dato’ Seri Sanusi ditangkap juga pada malam itu juga kerana mereka nak memalukan seorang pemimpin besar dalam kalangan pemimpin-pemimpin PERIKATAN NASIONAL (PN).
Saya ingin mengingatkan kepada semua rakyat Malaysia terutamanya penyokong PERIKATAN NASIONAL. Dulu pernah berlaku di mana ada pemimpin besar negara sendiri yang telah menyalahgunakan kuasa dan telah disabitkan dan dihukum penjara kerana menyalah gunakan kuasa. Mengarahkan pihak polis untuk kepentingan beliau.
Janganlah sekali lagi perkara ini berlaku abuse of power ini adalah sesuatu yang tidak boleh dibenarkan sama sekali oleh pemimpin tertinggi negara. Saya tidak menuduh tapi oleh kerana perkara ini boleh berlaku dan pernah berlaku dan tak mustahil ianya boleh berlaku sekali lagi.
Sebab itulah saya amat kesal bila mendengar rakyat sudah mula mempersoal apakah ada agensi-agensi kerajaan tertentu telah disalahgunakan untuk kepentingan beberapa pemimpin tertentu dalam negara? Ingatlah jangan menzalimi mana-mana pemimpin. Janganlah menganiaya sesiapa pun dalam negara kita.
Sama ada ianya datang daripada PERIKATAN NASIONAL atau pemimpin bukan daripada PERIKATAN NASIONAL. Yang pentingnya jangan ada ‘double standard’. Kalau yang ini salah, yang lain juga salah. Jangan sekali-kali gunakan kuasa anda semata-mata nak menunjukkan kuasa yang ada di tangan untuk menangkap atau menakut-nakutkan pimpinan PERIKATAN NASIONAL.
Sebab itu saya selaku ketua pembangkang akan terus berjuang bersama-sama PERIKATAN NASIONAL terutama dengan adinda saya YAB Dato’ Seri Sanusi Menteri Besar Kedah. Dalam hal ini saya menyeru rakyat Malaysia terutamanya rakyat Negeri Kedah supaya bertenang dan bersabar berilah ruang kepada pimpinan PERIKATAN NASIONAL untuk menguruskan kes ini sebaik mungkin.
Marilah kita sama-sama berdoa bagi menyelamatkan negara kita ini daripada dizalimi oleh mana-mana pihak dalam negara kita.
DATO’ SERI HAMZAH ZAINUDDIN
Setiausaha Agung PERIKATAN NASIONAL – HARAKAHDAILY 20/7/2023




















