
HARI berganti hari, waktu berdetik tanpa henti. Kita dibawa menuju ke depan, meninggalkan zaman lalu. Hampir semuanya tinggal menjadi kenangan hidup. Lebih-lebih lagi perkara yang tidak elok, makin kuat untuk kita tinggalkan. Malu kerana orang tahu kejahatan kita, lalu kita mahu merubah kehidupan kepada yang lebih baik. Ini adalah sifat semulajadi manusia yang inginkan kebaikan dalam hidup. Setelah berlalu perang PRU15, kita mengharapkan penipuan PH dan BN ketika berkempen, dapat diperbaiki dan dilupakan.
Tetapi berlawanan dengan kisah Kerajaan Madani ini. Kejahatan, penipuan, fitnah mereka zaman dahulu, masih mereka kekalkan, malah bertambah-tambah pula usaha mereka mahu menipu rakyat. Lebih menyerlah setelah mereka menang, menjadi Kerajaan Pusat secara bernasib baik. Oleh kerana mereka naik dengan nasib, mereka terpaksa memikirkan langkah bagi mengekalkan kuasa mereka itu, tidak mahu terjadi sekali lagi kejatuhan kerajaan mereka selama 22 bulan sebelum ini. Jika tidak, di mana mahu disorokkan aib yang mereka tidak pandai memerintah, hanya retorik semata-mata.
Antara langkah terawal yang dilakukan ialah memperkenalkan slogan Madani. Konon ia kelihatan sedikit Islamik, nama asas bagi Kota Madinah, agar menarik hati rakyat yang baik, bagi mereka bawa bersama dalam perjuangan mereka. Direkalah akronim dari entah apa-apa prinsip yang mereka bawakan itu. Akronim yang memeningkan kepala kepada yang membacanya, sama sebagaimana hasrat untuk ia dicapai. Namun mereka mencuba, supaya penyokong mereka memikirkan yang mereka sedang berada di jalan yang betul.
Masa berjalan, tindakan mereka semakin lama, semakin jauh melanggari prinsip yang mereka sendiri gariskan. Barang mahal disalahkan orang, Ringgit jatuh disuruh bersyukur kerana ada kebaikannya, petrol tidak turun harga mereka diamkan, hutang negara bertimbun, dikata itu rekod yang lama, kejayaan negeri-negeri PN, dinafikan, ajak anak-anak muda berdansa sedangkan dahulu janji melupuskan hutan PTPTN dan banyak lagi. Begitulah mereka dalam mengelakkan diri, berputar-putar membelitkan kata-kata dan bagi rakyat pula, hanya linangan airmata yang menitis seperti lirik lagu Rindu Bayangan kerana percayakan mereka.
Lebih dari itu, PH mengamalkan politik songsang iaitu prinsip politik yang bermati-matian mereka tentang dahulu sewaktu belum berkuasa, sewaktu berseteru dengan BN, terutamanya Tun Mahathir. Kuasa yang ada sekarang mereka guna untuk mengugut rakyat yang bencikan mereka. Saling tak tumpah seperti Firaun yang mereka gelarkan dahulu. ‘Live’ mereka sikit, kena kutuk, rakyat diugut, sekat media sosial pembangkang. Yang peliknya tidak boleh diakses di Malaysia, tetapi boleh di luar negara.
Sehinggakan rumah abang Menteri Besar Kedah yang besar, dituduh kepunyaan Menteri Besar kerana membaham duit haram. Tidak puas dengan itu, dibawanya pula penyokong mereka dengan bas melihat sendiri rumah abang Menteri Besar. Dan semalam kemuncak perang mereka dengan Menteri Besar Kedah, dengan penangkapan beliau jam tiga pagi atas dakwaan menghina Sultan Selangor. Manakala penghinaan YDPA yang menjadi Pegawai Penerangan mereka hidup bebas serta kempen Lim Guan Eng berkenaan 3R itu, langsung disenyapkannya. Digunakan PDRM sebagai perisai kegusaran mereka, saling tak tumpah sama seperti zaman mereka bereformasi dahulu. Kata mereka, BN arahkan PDRM bagi menyekat kemaraan rakyat. Kumpulan mereka memaki PDRM. Dan sekarang?
Dalam masa yang sama, walau dikepung oleh beberapa menteri untuk mengalahkan Menteri Besar Kedah, PERIKATAN NASIONAL (PN) telah berjaya dengan cemerlangnya di negeri-negeri yang mereka perintah. Pentadbiran yang efisyen, mengikut kehendak yang dibuat oleh pihak berwajib. Mengurangkan kesilapan audit sambil menokok KDNK, memberikan sumbangan atau bantuan kepada rakyat dengan adil dan membuang terus amalan-amalan negatif kerajaan terdahulu yang bukan dari PN.
Maka di sini, timbul kontra antara slogan yang kononnya mahu diterapkan dalam pentadbiran, tetapi memeritkan Kerajaan Madani, konsep ketelusan tatakelola itu sebaliknya berjaya dipraktikkan oleh negeri-negeri PN yang juga mempunyai prinsip pentadbiran yang telus dan amanah dengan menerima anugerah demi anugerah. Di satu sudut, Kerajaan Madani dilihat rakyat sebagai ‘sembang gajah terbang’ dan satu lagi kerajaan-kerajaan negeri di bawah PN ‘janji ditunaikan’. Oleh itu, penyokong Kerajaan Madani menjadi keliru. Kenapa ia berlaku sebegini, tidak seperti yang diidamkan oleh mereka yang menyokong Madani.
Kerajaan ‘mende ni’? Penuh dengan formula, tetapi tiada penyelesaian. Ini sahajakah yang mereka ada? Ulangan kepada sistem BN yang mereka mahu hapuskan dahulu?
Awas kepada provokator, kita akan ikut arahan pimpinan, selesaikan isu ini melalui undang-undang, bukan melalui jalanan. Hapuskan PH di enam negeri dalam PRN nanti, ini balasan kita kepada mereka.
MOHD NASIR ABDULLAH
18 Julai 2023 – HARAKAHDAILY 18/7/2023
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.




















