
ALOR SETAR: Rakyat Kedah akan menyambut kepulangan hero mereka di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim pada jam 3.30 petang ini.
Ketua Pegawai Khas Menteri Besar, Zulkifli Yahaya berkata, orang ramai terutama penyokong PERIKATAN NASIONAL (PN) dialu-alukan menyambut kepulangan Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Maklumat mengenai sambutan kepulangan ‘wira’ Kedah itu ditular melalui media sosial termasuk Tiktok, Facebook dan pelbagai lagi.
Pagi tadi Sanusi didakwa di Mahkamah Seksyen Selayang atas dua pertuduhan membabitkan ucapan pada ceramah politik PN di Selayang, 11 Julai.
Sebelum itu pada jam 3 pagi beliau ditahan di hotel tempat penginapannya oleh pasukan polis tanpa sebarang notis.
Menteri Besar dibenarkan diikat jamin sebanyak RM5,000 pada setiap pertuduhan. Kes berkenaan akan disebut pada 4 Oktober depan. – HARAKAHDAILY 18/7/2023











