Terbukti kerajaan PN kuat kerja, kurang cakap

Bakri Jamaluddin
- Advertisement -

PORT DICKSON: PERIKATAN NASIONAL (PN) telah membuktikan sebelum ini adalah kerajaan yang kuat bekerja dan kurang bercakap sehingga berjaya menangani wabak Covid-19.

- Advertisement -

Bagaimanapun, Ketua Penerangan PN Melaka, Bakri Jamaluddin berkata apa pula yang diucapkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim setelah dipilih sebagai Perdana Menteri.

“Anwar Ibrahim bila dia diangkat menjadi Perdana Menteri apa ucapan awal dia? Dia mempertikaikan tentang perolehan vaksin (Covid-19). Dia kata perolehan vaksin tidak mengikut prosedur. Maka dibuat kertas putih.

“Bila dibentangkan kertas putih, diterangkan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, di dalam kertas putih mengatakan semua perolehan vaksin itu mengikut prosedur,” ujarnya semasa berucap pada majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PERIKATAN NASIONAL DUN Lukut yang berlangsung di Pekan Lukut, di sini, malam tadi.

Turut hadir ialah Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) PAS Pusat, Senator Balasubramaniam Nachiappan, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha, Ketua Penerangan DHPP yang juga merupakan Pegawai Khas kepada MB Terengganu, Dr Balachandran Gopal Krishnan, Timbalan Ketua DHPP negeri Dato’ Ragu Subramaniam dan pimpinan PERIKATAN NASIONAL tempatan.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Tangga Batu itu menambah, ada tuduhan-tuduhan yang mengatakan kerajaan yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah kerajaan yang gagal dalam menguruskan wabak Covid-19.

“Saya berbahas kertas putih vaksin di Parlimen. Saya menunjukkan data bahawa dalam perancangan kerajaan sepatutnya Malaysia mencapai ‘herd imuniti’ pada tahun 2022, bulan Februari.

“Tetapi alhamdulillah, kita mencapai ‘herd imuniti’ enam bulan lebih awal, iaitu berlaku pada bulan Oktober tahun 2021. Dan saya angkat data mengatakan bahawa kadar kematian yang tertinggi berlaku di dalam negara Malaysia adalah pada bulan Julai, Ogos dan September,” ujarnya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka.

Namun, jelasnya, selepas Malaysia mencapai ‘herd imuniti’ kadar kematian akibat Covid-19 turun dengan drastik pada bulan Oktober 2021 sehingga menjelang tahun 2022.

Kata Bakri lagi, satu kajian yang dilakukan di Sydney Australia mengatakan bahawa Malaysia adalah antara 20 negara terbaik yang menguruskan Covid-19.

Menurut beliau, data menunjukkan kadar kematian akibat Covid-19 di Malaysia adalah sekitar 1,118 orang bagi setiap satu juta penduduk dengan menduduki tangga ke 96.

Tambahnya, negara yang menduduki tangga pertama iaitu yang paling buruk ialah negara Peru dengan lebih 6,000 kematian bagi setiap sejuta penduduk.

“Penduduk Amerika Syarikat mencatatkan 3,000 lebih (kematian) bagi satu juta penduduk. Negara-negara Britain, Eropah mencatatkan lebih daripada 2,000 jiwa kematian bagi setiap satu juta penduduk,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 16/7/2023

- Advertisement -